BESUT – Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) menjalin kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melatih veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi usahawan tani menerusi program My Hero Tani.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, buat permulaan seramai 10 veteran ATM dalam kalangan golongan kurang berkemampuan atau B40 terpilih menyertai program tersebut menanam ubi keledek varieti Sweet Vitato.
“Projek My Hero Tani ini melibatkan peruntukan RM35,000 daripada YVATM manakala UniSZA menawarkan bimbingan teknikal dan teknologi serta pemasaran bagi penanaman ubi keledek varieti Sweet Vitato.
“Buat permulaan, ia melibatkan penggunaan tanah seluas lima ekar (2.025 hektar) sebelum akan diperluaskan kepada 20 ekar (8.1 hektar) secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” katanya selepas merasmikan My Hero Tani di UniSZA Besut, Tembila di sini hari ini.
Adly berkata, penanaman ubi keledek varieti Sweet Vitato hanya memakan masa kira-kira tiga bulan bagi setiap pusingan.
Beliau berkata, setiap peserta dalam kalangan veteran ATM B40 tersebut disasar mampu menjana pendapatan hampir RM7,000 bagi setiap pusingan penanaman.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan membantu veteran ATM menjana pendapatan bagi kelangsungan sosio ekonomi mereka selepas bersara.
“Bilangan peserta program My Hero Tani dalam kalangan veteran ATM akan dipertingkatkan secara bertahap mengikut fasa dan jenis tanaman juga akan diperbagaikan bagi setiap pusingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














