fbpx
SELAIN melakukan pelbagai aktiviti untuk seluruh penduduk, para siswa juga melakukan Home Medication Review dengan melawat ke 18 buah rumah dan memberi khidmat nasihat kesihatan pada program Pacu 2026 di Kampung Pak Da Malik, Besut baru-baru ini.

Siswa farmasi masuk kampung di Besut, beri khidmat kesihatan kepada 18 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SATU lagi sejarah penglibatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama masyarakat setempat tercipta baru-baru ini.

Program Amalan Cakna Ubat (Pacu) 2026 Siri ke-8 tahun 2026 serta sambutan ulang tahun ke-10 Fakulti Farmasi diadakan di Kampung Pak Da Malik, Besut, Terengganu pada 14 Mei lalu.

Program tersebut dianjurkan Fakulti Farmasi UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pak Da Malik, Besut.

Tema yang dibawa adalah Farmasi Cakna Alam: Lupus Ubat, Bumi Lestari.

Pengarah Pacu yang juga pensyarah pakar Amalan Farmasi, Aslinda Jamil berkata, aktiviti yang menjadi fokus utama ialah Home Medication Review (HMR), yang juga satu topik menjadi elemen tunjang dalam salah satu kursus Amalan Farmasi Tahun 4.

PARA siswa dan peserta terlibat bergambar kenangan usai program Pacu 2026 yang berlangsung dengan jayanya di Kampung Pak Da Malik, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Jelasnya, ia melibatkan pasukan petugas yang terdiri daripada mahasiswa Tahun 4 Fakulti Farmasi UniSZA, para pensyarah serta pegawai farmasi JKNT.

“Ia bertujuan melatih mahasiswa farmasi dalam menawarkan perkhidmatan pemantauan, penggunaan dan penyimpanan ubat-ubatan kepada pesakit di rumah serta kaunseling pengendalian ubat dan peranti perubatan.
“Kesedaran sebegini boleh memastikan tahap kesihatan penghuni rumah sentiasa kekal optimum melalui penjagaan kendiri yang baik serta kepekaan yang jelas tentang keberkesanan ubat dan kesan sampingan,” katanya.

Tambahnya, 18 buah keluarga telah dilawati sembilan pasukan petugas yang berjaya memberikan pelbagai jenis khidmat nasihat.
Ia termasuk tindakan susulan yang perlu diambil untuk memastikan keadaan kesihatan mereka terpantau secara konsisten melalui pengurusan ubat yang sistematik.

Pelbagai aktiviti serentak turut diadakan dalam bentuk karnival kesihatan yang merangkumi aktiviti sukaneka, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pameran umum yang dikendalikan oleh unit farmasi, derma organ, fisioterapi, pemakanan sihat dan kesihatan keluarga oleh agensi berkaitan.

AKTIVITI senaman ringan diadakan penduduk kampung sebagai salah satu pengisian program Pacu 2026.

Tambah Aslinda, pelajar Tahun 3 Fakulti Farmasi turut mengambil bahagian dalam menyediakan pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan paras gula dalam darah kepada komuniti setempat.

Jelasnya, sepanjang program berlangsung, pelbagai maklumat kesihatan telah disampaikan kepada masyarakat antaranya berkaitan pengendalian ubat, kanser payudara, amalan pemakanan sihat, derma organ serta aktiviti permainan berinformasi.

Masyarakat kampung turut bersemangat mengambil bahagian dalam memeriahkan senamrobik, peraduan mewarna kanak-kanak, aktiviti menganyam ketupat, pertandingan tarik tali serta cabutan bertuah.

Majlis perasmian penutup telah diadakan di Balai Raya Kampung Pak Da Malik selepas selesai aktiviti HMR dan semua acara lain.

Majlis penuh meriah tersebut telah dimulakan dengan persembahan Muay Thai oleh ahli Kelab Haji Ronie Muay Thai yang menyambut ketibaan pegawai perasmi iaitu Pengarah UniSZA Kampus Besut mewakili Naib Canselor

UniSZA, Prof. Madya Dr. Azman Azid sambil diiringi Dekan Fakulti Farmasi, Prof Dr. Lua Pei Lin.

Bagi seorang mahasiswa yang juga Ketua Jawatankuasa Jemputan & Protokol, Nuranis Faatihah Borhan, penglibatannya itu memberi pengalaman sangat bermakna sebagai seorang pelajar.

“Pengalaman ini sangat berharga khususnya apabila dapat berinteraksi secara langsung dengan penduduk kampung.

“Layanan mesra dan keterbukaan mereka memberi ruang untuk saya memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi dalam penjagaan kesihatan harian.

“Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah mengajar saya tentang kepentingan empati, komunikasi dan kepercayaan dalam membina hubungan antara ahli farmasi dan masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN