fbpx
MOHAMED KHALED menyampaikan cek cura kepada SK Johor Kampong sempena Majlis Perasmian PJM Madani Kementerian Pertahanan di SK Johor Kampong, Kota Tinggi hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Malaysia kaji terus hantar pasukan pengaman PBB ke Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Malaysia akan mengkaji kemungkinan untuk terus menghantar pasukan pengaman ke Lubnan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) meskipun mandat semasa dijadualkan tamat pada Disember ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu sedang dibincangkan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di negara berkenaan akibat konflik berterusan melibatkan Israel.

Menurut beliau, Malaysia sebelum ini merancang untuk menamatkan penglibatan pasukan pengaman sebaik sahaja mandat UNIFIL berakhir hujung tahun ini.

“Pada asalnya, apabila mandat berakhir pada penghujung tahun ini, proses yang dirancang adalah membawa pulang anggota dan menamatkan penglibatan dalam pasukan itu.

“Bagaimanapun, serangan berterusan Israel menyebabkan timbul persoalan sama ada pasukan pengaman PBB perlu diteruskan di Lubnan bagi mengelakkan keadaan keselamatan di negara itu menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Program Jiwa Murni (PJM) Madani Kementah di Sekolah Kebangsaan (SK) Johor Kampong, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, wakil PBB telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung masa depan misi UNIFIL serta keperluan meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota pengaman.

Katanya, peranan pasukan pengaman kini semakin mencabar apabila mereka bukan sahaja menjalankan tugas pemantauan keamanan, malah berdepan risiko berada di kawasan konflik peperangan.

“Daripada menjadi pasukan pengaman, kini mereka lebih terdedah berada di tengah-tengah konflik dan peperangan. Sebab itu kita berbincang mengenai keperluan persediaan yang lebih baik untuk anggota kita,” ujarnya.

Mengulas kecederaan dua anggota Batalion Malaysia baru-baru ini, beliau berkata, anggota terbabit hanya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan letupan.

“Kecederaan yang dialami tidak serius dan rawatan telah diberikan di Lubnan kerana pasukan kita mempunyai kemudahan perubatan sendiri di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN