PETALING JAYA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan bakat masa depan menerusi penganjuran UniMAP FutureX: Future Young Leaders 2026.
Program selama tiga hari di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra itu menghimpunkan pelajar, graduan, pemain industri dan komuniti dalam satu ekosistem pembangunan kepimpinan, inovasi dan kerjaya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, program itu membuktikan komitmen universiti dalam menghubungkan dunia akademik dengan industri.
Menurutnya, antara pengisian utama program ialah Karnival Kerjaya NICE 2026, Karnival Keusahawanan dan Kelestarian, Festival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan (AI), Postgraduate Colloquium & Research Exhibition serta Program Inspirasi Varsiti.
Katanya, Karnival Kerjaya NICE 2026 menjadi tarikan utama apabila menghimpunkan lebih 60 syarikat tempatan dan antarabangsa yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta latihan industri dalam pelbagai sektor.
“Selain pameran reruai industri, forum kerjaya, sesi temu duga terbuka bersama majikan, forum keusahawanan dan kelestarian serta jualan usahawan siswa turut diadakan,” katanya.
Tambahnya, penyertaan aktif pihak industri membuktikan keyakinan tinggi terhadap kualiti graduan UniMAP.
Beliau berkata, keyakinan itu turut diterjemahkan menerusi pencapaian UniMAP yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus dan kadar graduan bekerja sebanyak 99.3 peratus berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025.
Jelasnya, pencapaian tersebut selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UniMAP 2026-2030 yang memberi penekanan kepada penghasilan graduan berpendapatan premium, peningkatan penempatan graduan dalam syarikat multinasional serta pengukuhan ekosistem pendidikan berteraskan teknologi dan inovasi.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli merakamkan penghargaan kepada Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) UniMAP yang menyalurkan sumbangan lebih RM100,000 kepada pelajar dan warga universiti.
Menurutnya, bantuan itu merangkumi sumbangan komputer riba kepada pelajar memerlukan, penyediaan mesin penapis air di kolej kediaman serta bantuan khas kepada A-Heart UniMAP.














