KOTA BHARU – Seorang pembantu kedai mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menetak bapanya dengan sebilah parang selain membakar sebuah kereta dan motosikal dekat Pasir Puteh pada minggu lalu.
Tertuduh, Wan Saiful Wan Animebusu, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapa kandungnya, Wan Animebusu Wan Yusoff, 59, dengan menggunakan sesuatu alat untuk memotong iaitu sebilah parang.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Wakaf, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 1 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 26A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful dituduh melakukan khianat api menggunakan petrol dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar sebuah kereta jenis Proton Satria Neo dan sebuah motosikal jenis Honda C70 sehingga menyebabkan pemilik kenderaan tersebut mengalami kerugian salah sebanyak RM7,000.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Kamilah mencadangkan satu tarikh lain untuk prosiding penyerahan barang kes dan prosiding jatuh hukum.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE














