Gajet seperti Global Positioning System (GPS) sangat membantu pemancing untuk mengulang lokasi berproduktif yang sebelum ini diketahui ada spesies ikan tertentu mendiaminya.
Sonar juga memudahkan pemancing untuk mengetahui struktur dasar sama ada lubuk dihuni ikan atau tidak.
Malah, jenis-jenis umpan tertentu sama ada hidup atau mati, segar atau busuk juga membolehkan pemancing memilih ikan diinginkan.
Sebagai contoh, jika pemancing hendak memancing ikan tenggiri, maka umpan yang mujarab adalah ikan hidup seperti selayang, tamban, selar atau kembung yang dipersembahkan secara berhanyut.
Bukannya umpan udang atau hirisan ikan, mungkin juga ada yang pernah kena tenggiri dengan umpan sebegitu tetapi ia lebih kepada ‘nasib’ sahaja.
Sama juga jika pemancing ingin mendapatkan ikan ketarap, umpan terbaik untuk ikan ini adalah ketam segar.
Malah, ada gewang tertentu yang dicipta untuk ikan-ikan yang khusus. Misalnya, gewang Jackson Pintail yang dimain laju, selalunya dapat menarik perhatian tenggiri dan talang.
Jig saiz kecil dalam lingkungan 20-40 gram dan diunjun perlahan di perairan cetek biasanya dapat menggoda ikan ebek dan gerong belang.
Begitu juga candat yang semestinya digunakan untuk memancing pelbagai jenis sotong.
Ada juga spesies ikan yang kuat ‘meragam’, misalnya jenahak.
Ada kalanya, ia dapat dipancing menggunakan jig, tetapi selalunya ia mahukan umpan yang masih hidup atau segar seperti udang atau sotong.
Namin pada masa sama, saya sendiri pernah alami ketika memancing di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ikan jenahak pada masa itu hanya mahukan umpan sotong yang ditangkap di perairan sama.
Jika diletakkan umpan lain langsung tidak diendahkan oleh ikan jenahak ini.
Bantuan tekong
Selalunya, pemancing menjadi buntu ingin guna umpan atau gewang dan teknik apa yang perlu diaplikasikan.
Bagi saya mudah sahaja, jangan sesekali malu bertanya dengan tekong kerana mereka yang paling arif tentang perkara-perkara tersebut, sebab itu padang pancingan mereka hari-hari.
Kemudian, pemancing-pemancing lebih berpengalaman yang turut serta dalam trip sama juga boleh membantu kerana mereka ini terlebih dahulu ‘makan garam’ daripada kita.
Namun ada ketikanya, hasil tangkapan pemancing boleh dikategorikan sebagai ‘tidak masuk dek akal’ kerana dipancing menggunakan umpan atau gewang yang bukan normal.
Ada rakan saya pernah dapat ikan kurau menggunakan umpan udang kopek sahaja.
Pernah juga pemancing dapat ikan merah dan bawal pinang guna umpan perumpun di kawasan muara.
Walau apa pun ilmu memancing yang kita ada, jangan berhenti untuk mencuba apa jua umpan atau gewang kerana mungkin kita dapat membuka ‘kunci’ spesies ikan tertentu dengan teknik pancingan terbaharu.
Apa-apa pun, saya masih berpegang kuat pada rezeki hasil memancing terletak pada kuasa Yang Maha Esa.
Apa yang penting, hanyalah mencuba, berusaha, berdoa dan bertawakal supaya dilimpahi rezeki, selain selamat pulang ke pangkal keluarga sebaik menghabiskan trip memancing.














