PETALING JAYA – Sokongan kerajaan dan industri Jepun penting dalam membantu Malaysia untuk membangunkan keupayaan dalam teknologi termaju terutama semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan pembungkusan termaju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara sedang menyusun strategi untuk tidak hanya bergantung kepada sektor tradisional.
Menurutnya, langkah ini dilaksanakan dengan memanfaatkan pendigitalan, AI serta teknologi baharu di samping memperkukuh peranannya sebagai hab semikonduktor serantau.
“(Bagi) semikonduktor, kita lebih bertuah memandangkan pada masa ini, Malaysia telah menjadi hab semikonduktor di rantau ini, bukan sahaja (untuk) produk bernilai rendah, malah lebih banyak (produk) bernilai tinggi.
“Kita bercakap mengenai pembungkusan dan pembungkusan termaju. Di sinilah kerjasama dengan industri Jepun dan sokongan daripada kerajaan Jepun adalah penting,” katanya.
Anwar semasa sesi soal jawab selepas Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, Jepun yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau hari ini.- KOSMO! ONLINE














