SEREMBAN – Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu disahkan tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
“Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba digunakan oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka.
Pemasyhuran tersebut dikatakan diisytiharkan secara ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Azizi turut memaklumkan bahawa dengan penerimaan gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang sebelum ini.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














