MELAKA – Kisah pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang tersesat selama 14 hari di kawasan hutan Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, sebelum ditemui dalam keadaan lemah membuka perhatian terhadap risiko kesihatan serius selepas tempoh kebuluran berpanjangan.
Jaslinda, 49, dilaporkan kehilangan hampir 10 kilogram berat badan sepanjang tempoh berkenaan sebelum diselamatkan komuniti Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut Pegawai Dietetik, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah, keadaan seperti ini bukan sekadar melibatkan pemulihan nutrisi tetapi turut berisiko mencetuskan komplikasi dikenali sebagai refeeding syndrome (RFS) jika tidak dikendalikan dengan betul.
“Menurut amalan berasaskan bukti, kebimbangan utama selepas seseorang mengalami kebuluran berpanjangan bukan sekadar kekurangan zat makanan tetapi risiko RFS.
“RFS berlaku apabila pengambilan tenaga, khususnya karbohidrat diperkenalkan semula selepas tempoh kelaparan lama, menyebabkan mineral penting seperti fosfat, kalium dan magnesium berpindah secara mendadak dari darah ke dalam sel,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, keadaan itu boleh membawa kepada komplikasi serius dan berpotensi mengancam nyawa jika tidak dipantau dengan teliti.
“Keadaan ini boleh menyebabkan aritmia jantung, kegagalan pernafasan, gangguan neurologi (kekeliruan dan sawan) dan dalam kes tertentu boleh membawa maut,” katanya.














