SEBERANG PERAI – Empat beranak nekad memanjat bumbung kediaman jiran mereka selepas rumah teres dua tingkat yang didiami terbakar dalam kejadian di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang terdiri daripada pasangan suami isteri, anak perempuan berusia empat tahun dan ibu mereka berusia 68 tahun dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.43 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dikejarkan ke lokasi.
Katanya, kebakaran berlaku di bahagian bawah rumah teres berkenaan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 30 peratus. Turut terbakar sebuah kereta jenis Honda City dan motosikal Honda ADV 160.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.33 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.05 pagi. Kes diserahkan kepada pasukan penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














