ALOR GAJAH – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengaibkan kehormatan seorang gadis pada Khamis lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Pemuda itu didakwa menyuruh mangsa berusia 20 tahun melakukan perbuatan mengaibkan semasa berada di dalam kereta di sebuah jambatan di Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (Lebuh SPA) di sini pada 1.13 pagi, 4 Jun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,600 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














