fbpx
Gambar hiasan

Malaysia catat RM92.8 bilion pelaburan suku pertama 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Malaysia terus menunjukkan ketahanan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global apabila berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026 (Q1 2026).

Jepun muncul sebagai pelabur asing terbesar, manakala pelaburan domestik mencatat pertumbuhan tahunan paling kukuh setakat ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebanyak 1,249 projek diluluskan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan primer.

Walaupun nilai keseluruhan sedikit menurun 0.2 peratus berbanding RM93.0 bilion pada Q1 2025, projek berkenaan dijangka mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan baharu, meningkat 46.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus memberi kesan positif kepada pasaran buruh negara.

Pengerusi MIDA,  Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi Q1 2026 mencerminkan kemampuan Malaysia menarik pelaburan yang lebih berdaya tahan, berteknologi tinggi dan memberi nilai tambah kepada ekonomi.

“Prestasi pelaburan ini jelas menunjukkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh. Keyakinan pelabur global dan domestik kekal tinggi. Dengan KDNK berkembang 5.4 peratus dan Moody’s menjangka Malaysia sebagai ekonomi A-rated paling pantas berkembang dalam dua tahun akan datang, kita bukan sekadar menyertai rantaian nilai serantau, tetapi muncul sebagai hab strategik industri masa depan ASEAN dan Asia,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul menerangkan, melalui inisiatif #InvestLokal dan rangka kerja insentif baharu sektor pembuatan, Malaysia kini memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti dan berasaskan teknologi yang mampu memperkukuh penyertaan industri tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Antara pelabur asing, Jepun mendahului dengan RM21.5 bilion, melonjak daripada RM1.6 bilion pada Q1 2025. Ia diikuti Republik Rakyat China (RM10.1 bilion), Amerika Syarikat (RM10.1 bilion), Singapura (RM6.7 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).

Hampir 93.6 peratus pelaburan Jepun disalurkan kepada aktiviti transformasi digital, menegaskan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi serantau.

Dari segi negeri, Selangor mencatat nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM33.5 bilion, diikuti Johor (RM16.9 bilion), W.P. Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4.0 bilion).

Tiga negeri teratas terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data global, dipacu oleh infrastruktur matang Cyberjaya, kedudukan strategik Johor sebagai alternatif kepada Singapura, serta peranan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan dan rangkaian utama negara. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN