ALOR GAJAH – Polis giat memburu seorang lelaki selepas disyaki melarikan beg milik penuntut universiti ketika mangsa sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Kampung Jelatang, di sini, kelmarin.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 4.45 petang di ruang solat wanita ketika mangsa berusia 19 tahun sedang menunaikan solat asar seorang diri sebelum menyedari beg miliknya dilarikan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, laporan berhubung kejadian itu telah dibuat oleh mangsa pada pukul 6.24 petang, hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak memasuki ruang solat wanita ketika mangsa sedang bersujud sebelum mengambil beg yang diletakkan di hadapan sejadah.
“Ketika mangsa bangun dari sujud, mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai kemeja T berwarna biru dan seluar pendek hitam berada di hadapannya.
“Lelaki itu kemudian mengambil beg miliknya yang mengandungi wang tunai serta telefon bimbit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Identiti suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkapnya sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman televisyen litar tertutup dipercayai milik masjid terlibat turut tular di media sosial Facebook memaparkan seorang lelaki berkemeja T biru dan berseluar pendek hitam melarikan diri sambil memegang sebuah beg.
Dalam rakaman sama, seorang jemaah wanita dilihat cuba mengejar suspek. – KOSMO! ONLINE














