KLANG – Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Tertuduh, Idi Johan Mohd. Zohdi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Berdasarkan pertuduhan berasingan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam pelajar perempuannya yang berusia 15 tahun bagi maksud seksual di dalam bilik kelas dan stor sekolah, sebuah rumah dan kereta di sekitar Sabak Bernam, antara Januari 2025 hingga Februari lalu.
Justeru, dia yang mengajar subjek muzik didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar. Peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakiki tertuduh merayu pengurangan kerana tertuduh yang berkhidmat sebagai guru sejak 2002 mempunyai anak perempuan yang bersekolah di tingkatan lima dan tiada sumber pendapatan lain.
“Selain tiada rekod jenayah lampau, dia juga tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin oleh sekolah,” katanya. Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dan kes disebut semula pada 30 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














