fbpx
Atikah sebak ketika menyiram air mawar di kubur lima ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi di Merbok, Sungai Petani hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Nahas 6 maut: Lima sekeluarga selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah lima daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini semalam.

Jenazah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29; dan bayi mereka, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi, Merbok kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Turut dikebumikan dalam kubur yang sama ialah ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd. Husin, 55, dan adiknya, Ahmad Fahim, 21.

Kesemua mereka dikebumikan berhampiran pusara Allahyarham Ahmad Shukri Osman, iaitu bapa Ahmad Shafiq yang meninggal dunia pada Februari 2024.

Lebih 300 ahli keluarga dan saudara-mara serta anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Seberang Perai Selatan, selain warga Hospital Sungai Bakap turut hadir pada pengebumian itu.

Terdahulu, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia, Iskandar Affan Ibrahim, 7, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Iskandar Affan merupakan anak saudara Ahmad Shafiq yang turut berada di dalam Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga itu, termasuk seorang lagi anak Ahmad Shafiq, Aulia Sofea, 3, yang cedera parah dan masih dirawat di hospital.

Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang semalam itu berlaku ketika kesemua mangsa menaiki kereta baharu milik Ahmad Fahim yang baru diambil pada hari kejadian dan dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi pusara Ahmad Shukri.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 itu remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah lori muatan tanah dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN