JAKARTA – Indonesia hari ini mengeluarkan arahan berpindah di utara negara berkenaan berikutan ancaman tsunami selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan selatan Filipina.
Pejabat di kawasan berisiko tinggi termasuk ibu kota Sulawesi Utara, Manado, wilayah Gorontalo Utara dan Kepulauan Sangihe diminta segera mengarahkan penduduk untuk berpindah ke tempat lebih tinggi, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB).
BNPB berkata, gegaran lemah dirasai di beberapa daerah selama beberapa saat, manakala situasi di lapangan masih ‘aman, tenang dan terkawal’.
“Masyarakat diminta tidak panik dan mengutamakan keselamatan kumpulan paling berisiko seperti warga tua, orang kelainan upaya serta kanak-kanak. Orang ramai juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.
Indonesia dan negara-negara tetangga kerap mengalami gempa bumi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik yang aktif dengan aktiviti seismik.
Pada tahun 2004, gempa bumi mega 9.1 Richter melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan mengorbankan lebih 170,000 orang di Indonesia. – AFP














