fbpx
Tangkap layar lelaki Myanmar ini miliki MyKad yang tular di media sosial.

[VIDEO] Tiada bukti MyKad dipapar dalam video tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad dipaparkan dalam rakaman video tular yang mendakwa seorang lelaki warga Myanmar memiliki kad pengenalan berwarna biru baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, hasil semakan lanjut mendapati rakaman yang tersebar di media sosial itu tidak memaparkan sebarang bukti yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan urusan pengeluaran kad pengenalan kepada individu yang didakwa sebagai warganegara Myanmar pada pukul 8.45 pagi Jumaat lalu.

“Siasatan awal mendapati terdapat satu hantaran video yang tular di Facebook menerusi akaun ‘Na’am Ahmad’ yang memaparkan serta mempersoalkan bagaimana seorang individu yang didakwa berasal dari Myanmar boleh memiliki MyKad berwarna biru.

“Hasil siasatan juga mendapati video tersebut merupakan rakaman yang telah diulang siar oleh pihak kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihak polis telah merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk semakan dan siasatan lanjut.

“Langkah itu diambil bagi memastikan kesahihan maklumat yang ditularkan,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu berkaitan isu tersebut.

“Tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mencemarkan nama baik pihak yang terlibat.

“Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap satu video tular yang memaparkan seorang lelaki didakwa warga Myanmar memiliki MyKad.

Video berdurasi kira-kira satu minit 37 saat itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial selepas individu berkenaan didakwa memperoleh kad pengenalan Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN