SEKTOR pendidikan negara melakar sejarah baru-baru ini apabila sistem latihan vokasional tempatan secara rasminya diiktiraf di pentas global sebagai wadah utama yang kompeten melahirkan modal insan profesional dan berdaya saing.
Kejayaan membanggakan ini dibuktikan oleh kontinjen mahasiswa dari Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berjaya menguasai kulinari antarabangsa dalam kejuaraan berprestij World Chefs Championship (WCC) 2026.
Mereka membawa pulang kemenangan besar buat negara menerusi keputusan membanggakan dalam setiap kategori yang disertai.
Pertandingan berprestij berskala besar itu telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru dari 21 hingga 23 Mei lalu.
Sebanyak 50 kategori dipertandingkan meliputi bidang masakan, bakeri, pastri dan seni kulinari kreatif, sekali gus menjadikan WCC antara platform yang mencabar dalam industri makanan global.
Kejohanan ini turut disertai peserta pelbagai negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menyatakan rasa amat bangga apabila kejayaan besar tersebut diraih melalui pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga (ERT) yang berjaya membawa pulang enam ‘Excellent Gold’, tujuh emas, lapan perak dan tiga gangsa menerusi pelbagai kategori kulinari dan hospitaliti yang dipertandingkan.
“Pencapaian tersebut membuktikan pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki bakat dan kemahiran bertaraf antarabangsa dalam bidang pendidikan kulinari serta hospitaliti.
“Keupayaan pelajar FTV UPSI meraih pelbagai pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan berprestij ini mencerminkan komitmen tinggi, disiplin, kreativiti serta kesungguhan dalam menghasilkan inovasi kulinari berkualiti tinggi yang mampu menundukkan saingan peserta luar negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Dekan FTV UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Azlan Mohammad Hussain pula menambah penyertaan dalam WCC 2026 ini memberi peluang keemasan kepada pelajar untuk mengasah kemahiran teknikal, meningkatkan keyakinan diri serta memahami kehendak sebenar industri makanan dan hospitaliti global.
INI kata Mohd. Azlan, sekali gus menunjukkan keberhasilan berterusan fakulti dalam memperkukuh latihan praktikal, kreativiti dan pendedahan pelajar terhadap standard industri antarabangsa.
Kejayaan besar ini merupakan bimbingan daripada Penolong Pegawai Penyediaan Makanan FTV, Muhammad Hazwan Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Chef Hazwan.
Bagi pemenang ‘Excellent Gold’ kategori ‘WCC47 Malay Traditional Dessert’, Noorsyamimie Zulkifli atau mahu dikenali sebagai Mimie, 27, sentuhannya di dapur pertandingan berjaya memukau juri dunia.
Pelajar tahun ketiga ERT berasal dari Klang, Selangor ini mengambil pendekatan berani mengangkat menu warisan tempatan ke pentas antarabangsa dengan menyediakan bingka durian bersama pes durian serta koci labu berinti durian kelapa parut dan krim santan.
Fokus utamanya menggunakan ‘raja buah’ itu adalah untuk menonjolkan tekstur berkrim, rasa lemak manis dan aroma kuat yang menghasilkan kombinasi rasa harmoni, sekali gus memikat hati barisan juri asing yang jarang menemui keunikan hidangan tersebut.
Detik paling mendebarkan bagi Mimie adalah sewaktu barisan juri mendekati meja memasak untuk menanyakan idea dan teknik komposit yang digunakannya, ketika dia sedang mengukus dan membakar serentak dalam tempoh masa yang sangat suntuk iaitu hanya 45 minit.
“Sebelum pengumuman dibuat, saya sasarkan dapatkan emas, namun apabila nama saya tidak tersenarai, debaran semakin meningkat.
“Ketika diumumkan sebagai penerima ‘Excellent Gold’, saya hampir tidak percaya. Lebih-lebih lagi lima rakan saya turut mencapai pencapaian yang sama,” luahnya.
Kehebatan mahasiswa UPSI turut dibuktikan oleh Fa’iqah Afifah Joanes, 24, pelajar semester enam dari Ranau, Sabah yang bertanding dalam kategori ‘Modern Freestyle 3 Tier Wedding Cake’.

Fa’iqah yang bersaing secara langsung dengan pencabar utama dari negara maju seperti Taiwan, Thailand, China dan Kanada mendedahkan perasaannya amat berdebar apabila melihat keunikan, kreativiti dan kemahiran sangat tinggi yang dipamerkan oleh peserta-peserta luar negara tersebut.
Namun, berbekalkan pengalaman dalam pertandingan sebelum ini, dia menepis rasa gementar dengan mempertaruhkan sebuah kek perkahwinan bertemakan fairytale berkonsepkan kisah Cinderella yang dihasilkan 100 peratus menggunakan air tangan sendiri.
“Kek bertingkat yang menawan itu menampilkan hiasan utama daripada gumpaste yang membentuk kereta kuda Cinderella, ‘birdcage’ dan bunga-bungaan terperinci, digabungkan dengan kehalusan teknik ‘royal icing’ untuk kemasan yang elegan,” katanya.
Pengorbanan Fa’iqah yang terpaksa menggunakan masa terluang selepas kelas dan waktu malam, malah mengorbankan waktu rehat demi menyiapkan hiasan halus itu selama sebulan ternyata membuahkan hasil paling lumayan apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah tertinggi ‘Excellent Gold’ buat kali kedua berturut-turut dalam pengalamannya sebelum ini.

Sementara itu, Chef Hazwan yang mempunyai pengalaman melebihi 15 tahun dalam industri kulinari dan gastronomi menyatakan rasa syukur kerana keputusan yang diumumkan pada edisi kali ini ternyata melangkaui sasaran asal pasukan.
“Syukur, alhamdulillah. Keputusan yang diumumkan melebihi sasaran berbanding tahun lepas apabila pasukan kulinari UPSI meraih satu ‘Excellent Gold’, lapan emas, dan satu gangsa. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anak Kandung Suluh Budiman (UPSI),” ujar Chef Hazwan teruja.
Anak Kandung Suluh Budiman ialah satu gelaran yang lazim diberikan kepada mahasiswa atau graduan UPSI.
Dia mendedahkan keunikan pasukannya terletak pada semangat kekeluargaan dan sistem sokongan, di mana pelajar senior yang berpengalaman dalam tiga hingga empat pertandingan antarabangsa ini bertindak sebagai mentor untuk membimbing pelajar junior sebagai pelapis.
Persiapan rapi telah dimulakan beberapa bulan lebih awal selepas mendapat kelulusan pihak pentadbiran.
“Jadual pelajar FTV yang padat memerlukan system timeline (garis masa sistem) terperinci sebagai penanda aras bagi setiap perancangan proses kerja.
“Persiapan ini merangkumi proses penelitian bagi setiap pembangunan menu, penguasaan asas-asas, serta pengurusan masa yang diberi penekanan khusus dalam setiap kategori, terutama kategori ‘display’ yang memerlukan tempoh persiapan produk yang panjang.
“Latihan intensif seperti ‘time attack’ dijalankan berulang kali untuk mengekalkan momentum setiap peserta dalam kategori siaran langsung. Pendekatan latihan yang sistematik ini memastikan pelajar bersedia hadapi pertandingan sebenar dengan keyakinan, disiplin dan tahap profesionalisme tinggi,” kata Chef Hazwan.
Dalam pada itu, gabungan subjek praktikal seperti Masakan Timur, Masakan Barat, Bakeri dan Perkhidmatan Makanan bersama subjek teori membantu pelajar memahami proses sains di sebalik masakan, seperti kawalan suhu, tekstur, pencegahan pencemaran silang dan pengurusan kos secara efisien.
Chef Hazwan menyatakan bahawa kemenangan pada tahun 2026 ini telah melonjakkan persepsi pihak industri luar terhadap kualiti graduan UPSI secara positif.
Apa pun, kejayaan besar kontinjen UPSI dalam melumpuhkan persaingan antarabangsa ini menjadi bukti kukuh bahawa silibus akademik di FTV yang berasaskan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ERT adalah relevan dengan standard global.














