fbpx
Azman (tiga dari kiri) menyerahkan naskhah al-Quran tulisan tangan arwah anaknya kepada Md. Amin pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Nahas UPSI: Pusara Nurly diziarahi 20 orang sehari sejak setahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Pusara Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, yang merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran terbabas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak pada tahun lalu masih dikunjungi oleh orang ramai sehingga ke hari ini.

Bapa kepada Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 65, berkata, seramai kira-kira 20 pengunjung dari dalam dan luar negara hadir ke tanah perkuburan Allahyarham anaknya setiap hari meskipun kejadian tersebut berlaku setahun lalu.

Katanya, selain itu, orang ramai juga datang keluarganya di Kampung Gong Pasir, Jabi dekat Besut, Terengganu untuk melihat naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan oleh Allahyarham Nurly Shahirah.

“Saya tidak menyangka Nurly Shahirah masih menjadi perhatian masyarakat walaupun tragedi berkenaan sudah berlalu setahun.

“Pengunjung yang hadir bukan sahaja dari dalam negara, malah ada yang datang dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei semata-mata untuk menziarahi pusara Allahyarham selain melihat naskhah al-Quran tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff di Tok Bali di sini hari ini.

Azman memberitahu, dia tidak menyangka kecenderungan arwah yang sangat dekat dengan al-Quran ketika hayatnya itu dihargai oleh orang ramai.

Menurutnya, pengunjung yang datang tiada pertalian darah dengannya, namun kebanyakannya memaklumkan mereka mahu memberi penghormatan kepada Allahyarham dan melihat naskhah al-Quran yang ditulis sendiri di depan mata.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh meninggalkan rumah terlalu lama kerana dari pagi hingga petang pasti akan ada yang datang berkunjung.

“Saya juga tidak mahu menghampakan orang ramai yang datang ke rumah. Kehadiran berterusan pengunjung ke pusara anak saya menjadi bukti kecintaan Allahyarham terhadap al-Quran meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Katanya, dia reda dan tidak pernah menyalahkan sesiapa berhubung tragedi itu kerana menganggap ia merupakan ketentuan Allah SWT.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 15 pelajar UPSI terkorban selepas bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza pada 9 Jun 2025.

Ketika kejadian itu, bas persiaran tersebut dalam perjalanan membawa pelajar pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN