MARANG – Seramai lima pesalah syariah termasuk dua pasangan yang sebelum dijatuhi bersalah atas kesalahan khalwat berulang dan persediaan persetubuhan haram menjalani hukuman sebat syariah
di Mahkamah Penjara Marang di sini hari ini.
Pelaksanaan hukuman sebatan syariah keseluruhan 20 kali melibatkan lima pesalau terbabit bermula pada pukul 10.30 pagi sebelum selesai sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.
Terdahulu mereka tiba di pekarangan Mahkamah Penjara Marang pada pukul 10.05 pagi dengan menaiki van Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).
Mereka ialah pasangan suami isteri, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24; Muhammad Syahmi Faris Latif, 24, dan Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 22; serta seorang wanita, Nur Habibah Ajis Tanjung,20.
Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha masing-masing menjalani tiga kali sebatan, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini pula masing-masing empat kali sebatan, manakala Nur Habibah pula dikenakan enam kali sebatan.
Kelima-lima pesalah kelihatan tenang sewaktu masing-masing menerima hukuman sebat tersebut.
Kosmo! 14 Mei lalu melaporkan Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof menjatuhkan hukuman tiga kali sebatan dan denda RM3,000 terhadap masing-masing Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha atas pertuduhan berkhalwat buat kali kedua.
Sementara itu, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini pula dijatuhi hukuman empat kali sebatan setiap seorang atas kesalahan melakukan persediaan persetubuhan luar nikah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 17 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














