PETALING JAYA – Pengorbanan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam usaha menjejaki pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Perak cukup besar apabila ada dalam kalangan anggota dan sukarelawan yang hampir terbunuh ketika menyertai operasi tersebut.
Penyelaras Bersama Gerak Kerja SAR Tim Malim Gunung, Muzafar Mohamad berkata, sepanjang sembilan hari berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), pelbagai cabaran terpaksa ditempuh oleh pasukan penyelamat dan sukarelawan yang terlibat.
Menurutnya, beliau amat menghormati semangat dan pengorbanan rakan-rakan malim gunung yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri bagi membantu operasi pencarian.
“Untuk sahabat yang hampir terbunuh ketika melaksanakan misi mencari berdasarkan perancangan di PKTK, saya tabik dan hormat kepada tuan-tuan dan puan-puan.
“Kami semua berkorban pada musim Hari Raya Aidiladha. Bukan sahaja agensi yang diarahkan bertugas, malah sukarelawan malim gunung juga sanggup mengetepikan urusan keluarga demi menyertai misi kali ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kebanyakan sukarelawan yang hadir menggunakan wang sendiri bagi menampung kos perjalanan dan keperluan operasi selain saling membantu menyediakan bekalan asas sepanjang misi dijalankan.
Katanya, majoriti mereka yang menyertai operasi tersebut tidak mengenali Jaslinda atau ahli keluarganya, sebaliknya hadir atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib mangsa.
“Doakan kesejahteraan semua rakan yang bersusah payah datang membantu. Ada yang sanggup berkongsi bekalan makanan dan keperluan lain bagi memastikan operasi dapat diteruskan.
“Halalkan juga sumbangan dan derma yang diberikan kerana ia banyak membantu melancarkan usaha SAR pada hari-hari berikutnya,” ujarnya.
Tambah beliau, amalan baik Jaslinda, doa keluarga, sahabat serta rakyat Malaysia yang tidak putus-putus, selain laungan azan yang berkumandang berulang kali di tengah rimba akhirnya diperkenankan Allah SWT.
“Semoga semua terus kekal positif dan bersangka baik sesama kita,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan Jaslina yang hilang sejak 15 hari lalu ditemui berjalan menyeberangi jambatan oleh seorang penduduk Orang Asli yang sedang memancing pada pukul 5.10 petang. – KOSMO! ONLINE.














