fbpx
WALAUPUN sudah 10 tahun berlaku, Didi tidak pernah melupakan kejadian yang dialaminya sewaktu ingin menunaikan solat asar di sebuah masjid di Kuala Lumpur. - Ilustrasi Shah Hasan

Misteri paip air terbuka, tertutup sendiri di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDENGAR cerita tentang gangguan mistik yang berlaku di sesuatu tempat seperti sekolah, pejabat mahupun bangunan tinggal bukanlah perkara aneh buat wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Didi. 

Bagaimanapun tatkala dia sendiri berdepan dengan satu kejadian misteri di sebuah masjid, sehingga kini a masih menghantuinya. 

Meskipun sudah 10 tahun berlaku, Didi tidak melupakan kejadian yang dialaminya sewaktu ingin menunaikan solat asar di sebuah masjid di Kuala Lumpur. 

Didi mengambil keputusan untuk solat di masjid tersebut kerana mempunyai urusan pekerjaan di kawasan berhampiran. 

“Saya solat di masjid itu kerana kereta pakir di dalam kawasan masjid, jadi saya fikir elok solat asar saja sebelum pulang ke rumah setelah selesai kerja. 

“Papan tanda ‘wanita’ dan tempat wuduk pula berada jauh dari tempat solat utama serta perlu menuruni beberapa anak tangga, malah lokasinya agak terpencil dari pandangan jemaah masjid,” kongsinya kepada CitaRasa baru-baru ini. 

Tiba saja di tandas, Didi melihat terdapat dua orang wanita yang agak tua sedang mengambil wuduk. 

Didi hanya mengangguk dan tersenyum saat menyapa dua wanita berusia lingkungan setengah abad itu sebelum masuk ke dalam tandas terlebih dahulu seterusnya mengambil wuduk. 

“Waktu di dalam tandas, tiba-tiba saya mendengar ada wanita dan anak kecil seperti sedang berbual-bual, tetapi saya tidak faham kerana kedengaran seperti bahasa asing. 

“Setelah selesai menggunakan tandas, saya melihat tiada siapa di kawasan tandas dan tempat mengambil wuduk. Tidak dinafikan persekitaran waktu itu agak sunyi. 

“Saya pun mengambil wuduk, tetapi pada masa sama saya juga mendapati seperti ada banyak paip air yang turut dibuka serentak. 

“Waktu itu saya tidak fikir apa-apa kerana menyangka mungkin disebabkan gema di kawasan tempat wuduk dan saya pula hanya sendirian di situ,” katanya. 

Fokus Didi kemudian terganggu apabila dia terdengar bunyi paip air yang tiba-tiba terbuka dan tertutup seperti sengaja dipermainkan seseorang.

“Bunyinya kedengaran dari arah belakang, tetapi apabila saya toleh tiada sesiapa. Selepas selesai wuduk saya bersiap untuk memakai tudung dan tiba-tiba bunyi paip itu kedengaran lagi. 

“Waktu itu saya nampak ada satu paip yang airnya terbuka deras, jadi saya fikir ingin menutupnya supaya tidak membazir. 

“Namun, apabila saya mula merapati tiba-tiba paip itu tertutup dengan sendiri seperti ada seseorang yang menutupnya. Tanpa buang waktu saya terus berlari ke arah tangga untuk ke ruang solat tetapi sewaktu menghampiri tangga itu saya ada terdengar bunyi dentuman pintu tandas beberapa kali,” ujarnya. 

Disebabkan ketakutan, Didi tidak menoleh ke belakang sambil istighfar dan terus menuju ke ruang solat.

Didi tidak pasti ‘siapa’ di sebalik kejadian itu. Cuma, memandangkan di kawasan masjid, Didi fikir mungkin perbuatan jin-jin Islam. Didi teringat peristiwa sejarah Islam yang menceritakan tentang sekumpulan jin secara beramai-ramai berkumpul di masjid ketika mendengar bacaan al-Quran oleh Rasulullah SAW yang sedang mendirikan solat. 

Sempena memperingati peristiwa yang berlaku di Mekah itu, masjid tersebut dinamakan sebagai Masjid Al-Jinn atau Masjid Al-Haras sebagai simbol sejarah peristiwa besar berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN