KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan aplikasi MACCCampus bagi menyebar luas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, agensinya percaya aplikasi digital tersebut mampu menjadi medium terbaik untuk mendekati golongan pelajar IPT seluruh negara.
“MACCCampus bukan sahaja akan berfungsi sebagai aplikasi yang menjadi pusat pengurusan data dan aktiviti
Angkatan Mahasiswa Antirasuah, malah lebih daripada itu.
“Ia akan menjadi platform forum akademik dan perkongsian idea dan penyelidikan antara ahli Amar di lebih 120 IPT seluruh negara,” katanya pada program Literasi Kewangan Integriti @ Antirasuah Mahasiswa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Pelancaran aplikasi MACCCampus berkenaan disempurnakan Pro Canselor UMT, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Abd. Halim berkata, aplikasi digital itu disasar melahirkan komuniti digital dalam kalangan pelajar IPT yang mementingkan integriti dan antirasuah.
Beliau berkata, MACCampus boleh dijadikan sumber literasi maklumat dan ruang merungkai persoalan berkaitan integriti dan antirasuah. – KOSMO! ONLINE














