fbpx
Hospital Melaka - GAMBAR HIASAN

Caj parkir Hospital Melaka diselaras RM8 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kadar caj parkir di Hospital Melaka kini diselaraskan kepada kadar rata lebih rendah iaitu RM8 sehari, berkuat kuasa hari ini.

Penetapan baharu itu dibuat selepas syarikat konsesi pengurusan parkir melakukan semakan semula struktur caj sedia ada yang sebelum ini mengenakan kadar RM2 sejam sejak 1 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelarasan itu turut mengambil kira keperluan pengguna serta usaha menambah baik kemudahan di hospital berkenaan.

“Di Hospital Melaka, kita rendahkan dari segi flat rate (kadar rata) iaitu RM8 sehari, namun untuk jam pertama kekal dikenakan RM2. Selain itu, golongan orang kurang upaya (OKU) menikmati kemudahan parkir percuma manakala pesakit dialisis diberikan kadar khas RM5 sekali masuk walaupun menggunakan parkir dalam tempoh yang lama,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak konsesi turut menambah kira-kira 300 petak parkir baharu menerusi sistem parkir mekanikal bagi mengurangkan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan hospital.

Ujarnya lagi, pelarasan kadar itu juga dilihat lebih seimbang berbanding sebelum ini, selain dianggap antara yang terendah di hospital utama lain.

“Di hospital utama di negeri lain telah mengenakan caj yang lebih tinggi dan kadar flat rate di Melaka merupakan yang terendah setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Hospital Melaka mula melaksanakan caj parkir RM2 sejam sejak 1 Jun lalu, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.

Kerajaan negeri sebelum ini turut mencadangkan agar kadar tersebut disemak semula supaya lebih munasabah dan tidak membebankan rakyat, selain mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN