PETALING JAYA – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) hari ini menerbitkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran (Authorisation Standards, AS) serta Standard Pelakuan (Conduct Standards, CS).
SKP dalam kenyataan berkata, kedua-dua standard itu adalah bertujuan untuk menetapkan keperluan pelesenan, pendaftaran serta tanggungjawab pelakuan dalam pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP).
Ia juga terpakai kepada enam aktiviti perniagaan utama di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, menetapkan keperluan yang jelas dan tersusun bagi memperkukuh amalan beretika di kalangan penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit.
“Standard Pelesenan dan Pendaftaran juga memperincikan keperluan serta proses pelesenan dan pendaftaran entiti yang dikawal selia, manakala Standard Pelakuan menetapkan set peraturan bagi memastikan amalan yang adil, bertanggungjawab dan profesional dalam industri kredit pengguna.
“Di bawah Fasa 1 pelaksanaan Akta ini, enam aktiviti perniagaan akan berada di bawah kawal selia SKP, iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang,” kata SKP hari ini.
Menurut SKP, aktiviti perniagaan berkenaan selama ini beroperasi tanpa pengawalseliaan khusus oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Penerbitan kedua-dua standard ini merupakan susulan kepada sesi taklimat industri SKP pada 18 dan 19 Mei lalu yang dihadiri oleh lebih 400 penggiat industri.
“Sesi tersebut mendapat maklum balas yang menggalakkan dimana peserta turut menghargai sokongan SKP dalam membantu persediaan ke arah pematuhan serta pembangunan industri kredit pengguna yang lebih bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, penerbitan Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan merupakan asas penting dalam pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025, dengan menetapkan keperluan yang jelas dari segi kelayakan untuk beroperasi serta amalan pelakuan.
Jelas beliau, sebagai pihak berkuasa berwibawa, SKP komited memastikan amalan industri selaras dengan mandat untuk melindungi kepentingan pengguna, di samping menyokong pembangunan industri yang mampan.
“Bagi memastikan kesiapsiagaan industri, SKP akan meneruskan usaha libat urus melalui penganjuran sesi taklimat industri di peringkat wilayah atau negeri sebagai usaha memantau tahap persediaan menjelang pelaksanaan keperluan pelesenan dan pendaftaran yang akan berakhir pada hujung tahun ini.
“Sesi ini juga memberi peluang kepada pihak yang tidak dapat menghadiri sesi terdahulu untuk turut serta dengan membuat pendaftaran melalui laman web rasmi SKP di www.skp.gov.my,” katanya.
Untuk makluman peserta industri diberi tempoh peralihan selama enam bulan bermula 1 Jun lalu untuk melaksanakan pematuhan terhadap Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan.
Selepas tempoh tersebut, mana-mana pihak yang terus beroperasi tanpa lesen atau tidak berdaftar dianggap sebagai suatu pelanggaran undang-undang.
Kedua-dua standard ini kini boleh diakses melalui laman web rasmi SKP di www.skp.gov.my. – KOSMO! ONLINE














