fbpx
KEMUDAHAN BNPL menjadi pilihan mereka yang berdepan masalah kewangan selepas Aidilfitri baru-baru ini. - GAMBAR HIASAN

‘Selepas raya, baki dalam akaun kurang RM200’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) menjadi ‘talian hayat’ sebahagian rakyat negara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu gaji pada hujung bulan ini yang berbaki kira-kira tiga minggu lagi.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ada pekerja yang mempunyai baki tunai bawah RM300 dalam tangan yang akan digunakan untuk ber­belanja sepanjang bulan ini tidak termasuk hal kecemasan.

Situasi itu didorong oleh per­belanjaan besar sempena sambutan Aidilfitri bulan lalu termasuk membeli pakaian raya, kos perjalanan balik kampung dan servis kenderaan.

Seorang pekerja swasta, Nur Aisyah Ahmad, 29, berkata, pendapatannya pada bulan ini hanya berbaki kira-kira RM300 selepas berbelanja untuk sambutan hari raya selain melangsaikan komitmen bulanan.

Katanya, sebahagian besar wang gaji digunakan untuk membuat persiapan termasuklah membeli pakaian dan menyediakan duit raya kepada ahli keluarganya.

“Kalau ada barangan yang perlu dibeli bulan ini, saya akan menggunakan BNPL jadi saya tidak perlu mengeluarkan wang tunai yang banyak dalam satu-satu masa,” katanya.

Nur Aisyah berkata, dia hanya menggunakan kemudahan tersebut untuk membeli barangan keperluan seperti barang dapur demi kelangsungan hidup sehingga penghujung April ini.

Sementara itu, penghantar makanan, Muhammad Hafiz Rahman, 33, berkata, dia turut berdepan situasi sama selepas berbelanja bagi persiapan Aidilfitri untuk keluarga di kampung.

“Saya pulang beraya ke kampung di Terengganu, jadi memang banyak guna duit untuk petrol, tol dan membeli barangan dapur untuk keluarga.

“Selepas raya, saya tengok baki dalam akaun tinggal kurang RM200. Jadi saya terpaksa menggunakan BNPL untuk membeli barangan keperluan sampai hujung bulan,” ujarnya.

Jelasnya, kemudahan tersebut banyak membantunya terutama ketika pendapatannya sebagai penghantar makanan tidak menentu pada bulan berkenaan.

“Sekurang-kurangnya saya masih boleh membeli barangan keperluan tanpa tertekan de­ngan baki duit yang ada dalam tangan,” katanya.

Seorang lagi pekerja kilang di Shah Alam, Siti Noraini Hamzah, 41, berkata, perbelanjaan raya bagi keluarga yang mempunyai anak ramai sememangnya memerlukan kos yang agak tinggi.

Menurut ibu tiga anak itu, dia menghabiskan kira-kira RM2,000 bagi menyediakan kelengkapan termasuk pakaian dan kuih raya untuk keluarganya.

“Bila masuk bulan April, baki duit dalam akaun hanya tinggal RM500. Nasib baik ada BNPL, dapatlah ‘bernafas’ sedikit sementara menunggu gaji masuk,” ujarnya.

Wanita itu memberitahu, kemudahan BNPL menjadi pilihannya untuk memberi barangan keperluan selepas raya tanpa perlu berhutang dengan individu di sekeliling.

“Yang penting guna secara berhemah dengan membeli barangan yang betul-betul perlu sahaja. Dengan kemudahan BNPL, saya boleh bayar secara ansuran tanpa mengeluarkan tunai secara sekali gus,” ujar­nya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN