fbpx
Asyraf Wajdi ketika melakukan lawatan ke bangunan asrama baharu KPM Beranang. - Foto FACEBOOK Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Peliklah, takkan kena Pengerusi Mara turun baru selesai – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, meluahkan rasa kecewa apabila mendapati semua dokumen berkaitan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi projek Asrama Baharu Kolej Profesional Mara (KPM) Beranang dilaporkan telah diselesaikan selepas isu tersebut dibangkitkan secara serius.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai ‘pelik’ kerana penyelesaian dokumen tersebut hanya dimaklumkan selepas beliau sendiri turun ke lokasi projek.

“Ajaib! Bila tiba, dimaklumkan semua dah selesai. Takkan kena Pengerusi Mara turun baru selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada pelajar serta ibu bapa yang terpaksa menanggung kos sewaan rumah di luar kawasan ekoran asrama yang telah siap sejak 2025 namun masih tidak boleh beroperasi kerana CCC belum diperoleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek pembangunan asrama baharu KPM Beranang yang berada di bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bermula pada 2021 dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 2023 mengikut kontrak asal dengan pihak kontraktor dilantik.

Bagaimanapun, katanya, projek tersebut mengalami kelewatan daripada jadual asal sehingga menyaksikan permohonan lanjutan masa (EOT) dikemukakan sebanyak lapan kali, selain pihak kontraktor dikenakan denda melebihi RM200,000.

“Apabila siap pada 30 Jun 2025, kira-kira setahun lalu, CCC yang diperlukan Mara untuk memulakan operasi tidak dapat dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang kerana ada dua dokumen yang masih belum disiapkan kerana ada aspek pembentungan yang perlu disiapkan kontraktor.

“Yang peliknya, apabila saya maklumkan bahawa saya nak turun melihat sendiri progres pembaikan apa jua kecacatan yang diperlukan untuk mendapatkan CCC ini, tiba-tiba tadi saya diberitahu semuanya sudah beres dan siap dihantar pagi tadi,” katanya.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau akan memberi tempoh sehingga 15 Julai ini untuk semua isu teknikal diselesaikan sebelum asrama itu diserahkan dan mula beroperasi sepenuhnya.

“Insya-Allah saya akan turun sekali lagi untuk menyaksikannya. Moga-moga isu asrama KPM Beranang yang lama tertangguh selesai sepenuhnya dan bakal memberikan keselesaan kepada 946 orang pelajar baharu menjelang kemasukan mereka 30 Julai akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN