PASIR MAS – Lapan lelaki yang terdiri daripada empat pemilik bot dan empat tekong didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini masing-masing atas satu pertuduhan memiliki diesel subsidi tanpa lesen sah dengan jumlah keseluruhan melebihi 19,836 liter di dalam bot mereka di Tumpat dekat sini kira-kira dua bulan lalu.
Kesemua orang kena saman (OKS) iaitu Mohd. Raffi Ramli, 47, Haziq Haiqal Bahrom, 24, Zawawi Zakaria, 48, Mohd. Shahrul Azan Ismail, 39, Mohd. Zurin Yahya, 51, Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24, Muhamad Haika Dalwis, 22, dan Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Raffi, Mohd. Zurin, Zawawi dan Ahmad Fahami yang merupakan pemilik empat buah bot didakwa menimbulkan syak yang munasabah memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel berjumlah kira-kira 2,203 liter hingga 4990 liter yang disimpan di dalam bot.
Kesalahan memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel itu dilakukan oleh mereka di dalam bot di Pengkalan Nazori, Kampung Geting dekat Tumpat kira-kira pukul 4.53 hingga 4.55 petang pada 12 April lalu.
Empat lagi OKS iaitu Haziq Haiqal, Muhammad Nor Haffizi, Muhamad Haika dan Mohd. Shahrul Azan dituduh menimbulkan syak yang munasabah memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel berjumlah kira-kira 2,203 liter hingga 4,990 liter yang disimpan dalam bot di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan terhadap kelapan-lapan lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri manakala kesemua OKS diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.
Mahkamah membenarkan kesemua OKS diikat jamin dengan seorang penjamin antara RM4,000 hingga RM10,000 melibatkan jumlah keseluruhan jaminan berjumlah RM68,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes dan kesemua OKS membayar jaminan tersebut.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, taktik licik sindiket yang menjadikan tangki dan ruang simpanan ikan sebagai stor rahsia untuk menyeludup diesel ke negara jiran menggunakan laluan laut terbongkar selepas anggota penguat kuasa KPDN menyerbu jeti nelayan Kampung Geting, Tumpat pada 12 April lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, semua suspek dicekup semasa sedang leka memindahkan diesel menggunakan pam dan hos ke dalam tangki tambahan yang diubah suai termasuk ruang simpanan ikan dari bot Kelas A ke Kelas C.
Katanya, tindakan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan mereka daripada dicekup. – KOSMO! ONLINE














