fbpx
Anggota PGA menyerbu kawasan hutan yang menjadi lokasi memproses dan mengedar air ketum di Kampung Belukar, Pasir Mas semalam. Foto PGA

Setahun proses, jual air ketum dalam hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Kegiatan dua lelaki yang menjadikan kawasan hutan di Kampung Belukar di sini sebagai tempat untuk memproses dan mengedar air ketum sejak lebih setahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Suspek berusia 26 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.05 petang selepas anggota PGA menahan kereta jenis Perodua Kelisa dan motosikal Honda EX5 yang dinaiki mereka di Jalan Pintasan Pasir Mas di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya menahan kedua-dua kenderaan itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, kedua-dua suspek melarikan diri ke arah hutan selepas menyedari kehadiran anggota PGA, namun mereka berjaya diberkas.

“Pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kelisa menjumpai tujuh bungkusan air ketum, manakala dua lagi bungkusan minuman itu ditemukan dalam bakul motosikal.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek membawa anggota PGA ke tempat penyimpanan air ketum yang terletak lima meter di dalam kawasan hutan berhampiran lokasi mereka dicekup,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bungkusan air ketum yang dirampas di kawasan hutan di Kampung Belukar, Pasir Mas semalam. Foto PGA

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan di kawasan itu menjumpai tong ais dan tiga kotak polisterina berisi 312 bungkusan air ketum bernilai RM9,360.

Katanya, kedua-dua lelaki yang berasal dari Kampung Beta Pohon Buluh dan Kampung Kubang Bemban di sini dipercayai mula terlibat dengan kegiatan tersebut sejak Mac tahun lalu.

“Siasatan mendapati, bekalan daun ketum diperoleh daripada seorang lelaki yang tinggal di kampung tersebut. Pelanggan pula datang ke hutan itu untuk membeli air ketum yang dijual RM10 sebungkus pada waktu petang,” ujarnya.

Tangkapan dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM23,220 dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN