PETALING JAYA – Tindakan sebuah syarikat yang didakwa meminta pekerja menjelaskan sebab serta mengemukakan bukti sokongan bagi permohonan cuti tahunan (AL) mengundang kecaman netizen di media sosial.
Menerusi tangkap layar mesej yang dimuat naik oleh @Hx.zel_ di laman Threads, seorang individu memaklumkan semua pekerja perlu memberikan dokumen sokongan ketika memohon cuti kerana pihak pengurusan mahu mengetahui tujuan sebenar cuti diambil.
Tindakan itu bagaimanapun mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang berpendapat cuti tahunan merupakan hak pekerja dan tidak semestinya perlu disertakan dengan penjelasan terperinci.
@Hx.zel_ menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang pelik kerana pekerja sering digalakkan menggunakan cuti tahunan, namun apabila permohonan dibuat mereka diminta memberikan pelbagai maklumat tambahan.
“Kau suruh orang mohon AL. Tapi bila dah mohon AL kau nak paksa orang bagi dokumen sokongan pula. AL tu hak masing-masing. Dia nak rehat kat rumah ke nak terbaring ke suka hati merekalah. Tak mohon AL bising, dah mohon pun bising,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap hantaran tersebut.
Seorang pengguna, @Jeeyha_, mendakwa pernah berdepan situasi hampir sama di tempat kerja lamanya sehingga urusan peribadi pekerja menjadi bahan soal siasat majikan.
“Dah macam syarikat tempat kerja lama. Gunakan ‘hal peribadi’ sebagai alasan pun dikira kesalahan besar. Lepas tu sibuk tanya ini itu kenapa tak pergi kerja,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Izara.medina7 secara berseloroh mempersoalkan bentuk bukti yang perlu diberikan sekiranya seseorang mengambil cuti hanya untuk berehat di rumah.
“Kalau nak mohon AL sebab nak rehat tidur kat rumah nak bagi dokumen sokongan apa lagi? Hantar swafoto di rumah ke?” tulisnya.
Dalam pada itu, pengguna @_.Hannvhi yang mendakwa dirinya bekerja dalam bidang sumber manusia (HR) berkata majikan tidak sepatutnya memaksa pekerja mendedahkan tujuan penggunaan cuti tahunan.
“Majikan tak boleh tanya mana staf nak pergi atau nak buat apa guna AL sebab itu memang hak pekerja. Lagi korang diam, makin lama makin teruk diorang tindas korang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














