SEREMBAN – Sidang akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dijadualkan berlangsung selepas mesyuarat mingguan Exco hari ini dibatalkan pada saat akhir.
Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang telah menunggu lama di Wisma Negeri sejak pagi tadi.
Pembatalan itu diumumkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd. Shah kira-kira pukul 12.45 tengah hari menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp media, kurang sejam sebelum sidang akhbar itu dijadualkan bermula pada pukul 1.30 tengah hari.
Menurutnya, penangguhan dibuat kerana Aminuddin mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Aminuddin menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Hinggap sebelum menghadiri mesyuarat Exco yang bermula pukul 11 pagi. – KOSMO! ONLINE














