fbpx
Masa depan kewartawanan bukan ditentukan oleh persaingan antara manusia dan teknologi. - GAMBAR JANAAN AI

AI tidak boleh ganti wartawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEDAKAN media sosial dan kecerdasan buatan (AI) mengubah cara orang ramai mendapatkan berita, namun peranan wartawan sebagai benteng utama dalam memastikan kesahihan sesuatu laporan masih kekal relevan.

Dalam dunia digital hari ini, pelbagai maklumat boleh diakses dalam beberapa saat menerusi platform seperti TikTok, Facebook dan aplikasi AI.

Namun cabaran besar apabila pengguna dihujani kandungan tanpa sempadan yang belum tentu tepat sehingga semakin sukar membezakan antara fakta, pandangan, propaganda dan berita palsu yang tersebar pantas di alam maya.

Keadaan itu sekali gus meletakkan tanggungjawab lebih besar di bahu pengamal media untuk memastikan setiap laporan yang diterbitkan mematuhi standard kewartawanan yang ketat.

Ketua Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Aisah Meri berkata, perubahan yang berlaku ketika ini disebabkan cara masyarakat mengakses maklumat.

Menurutnya, walaupun pengguna memperoleh berita melalui pelbagai platform digital, persoalan paling penting masih berkisar kepada sumber sesuatu maklumat dan tahap kesahihannya.

“Pada akhirnya, kita masih memerlukan wartawan untuk melakukan proses semakan, pengesahan dan verifikasi terhadap sesuatu maklumat. Cabaran utama hari ini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi lambakan maklumat daripada pelbagai sumber yang belum tentu benar,” katanya.

Lebih membimbangkan, teknologi AI kini mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan meyakinkan dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, kewartawanan mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi teknologi kerana setiap laporan bukan sekadar berpaksikan data, sebaliknya melibatkan kisah manusia, emosi dan konteks sosial yang memerlukan pemerhatian.

Wartawan bukan sahaja mengumpul fakta, malah turun ke lapangan, menemui individu terlibat serta memahami realiti sesuatu peristiwa sebelum disampaikan kepada khalayak.

Namun, media arus perdana berdepan tekanan baharu apabila persaingan digital dan permintaan terhadap maklumat masa nyata mendorong mereka berlumba-lumba menjadi yang terpantas melaporkan sesuatu berita.

Dr. Aisah menegaskan, kekuatan sesebuah organisasi media bukan terletak pada siapa yang paling cepat menyiarkan berita, tetapi siapa yang paling dipercayai ramai.

“Kesilapan fakta mungkin boleh diperbetulkan, tetapi kepercayaan yang hilang akibat laporan tidak tepat jauh lebih sukar dipulihkan,” ujarnya.

Pandangan itu selari dengan tema sambutan Hari Wartawan Nasional 2026 iaitu Media Berintegriti, Teras Kredibiliti yang memberi penekanan terhadap kepentingan integriti dan kepercayaan dalam dunia kewartawanan masa kini.

Mengulas masa depan industri, Dr. Aisah berpandangan institusi pengajian tinggi perlu menyesuaikan pendidikan kewartawanan dengan perkembangan AI tanpa mengorbankan etika kewartawanan.

Katanya, masa depan kewartawanan bukan ditentukan oleh persaingan antara manusia dan teknologi, tetapi keupayaan saling melengkapi bagi menghasilkan laporan yang tepat, beretika dan terus mendapat kepercayaan khalayak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN