MONTREAL – Ketua Pasukan McLaren, Andrea Stella menegaskan Oscar Piastri masih menjadi sebahagian penting dalam perancangan jangka panjang pasukan itu meskipun pelumba muda Australia tersebut terus dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain.
Spekulasi mengenai masa depan Piastri semakin hangat kebelakangan ini apabila timbul laporan mendakwa Red Bull sedang memantau perkembangannya sebagai calon pengganti Max Verstappen pada masa depan.
Situasi itu hadir ketika Piastri bergelut mencari rentak terbaik musim ini apabila hanya menghuni tangga keenam keseluruhan kejuaraan dunia, ketinggalan 10 mata di belakang rakan sepasukan, Lando Norris.
Bagaimanapun, Stella menolak segala khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada ‘musim spekulasi’ yang sering berlaku dalam paddock Formula Satu (F1).
“Apabila bercakap mengenai Oscar, kami tidak mungkin lebih gembira daripada sekarang. Saya rasa kami sedang melihat versi terbaik Oscar sama ada di dalam kokpit mahupun di luar litar.
“Dia gembira, mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Lando dan pasukan ini juga berada dalam keadaan paling kukuh sejak saya menjadi ketua pasukan,” katanya.
Menurut Stella, keutamaan McLaren ketika ini adalah mengekalkan kestabilan pasukan serta memastikan bakat-bakat terbaik terus kekal bersama mereka untuk membina kejayaan jangka panjang.
“Sudah tentu hala tuju kami sangat jelas, iaitu memastikan kestabilan maksimum dalam pasukan. Itulah perkara paling penting buat McLaren ketika ini,” ujarnya. – AGENSI














