fbpx
KEADAAN kereta dinaiki pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing, petang semalam.

Konvoi keluarga berakhir tragedi, anak menantu maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perjalanan pulang sebuah keluarga selepas menyambut Aidiladha bertukar tragedi apabila anak dan menantu maut dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Endau-Mersing, Mersing semalam.

Muhamad Bustaman Abdullah, 50, bapa kepada Allahyarham Muhammad Firdaus, 24, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua lagi anaknya menaiki sebuah kereta sedang berkonvoi bersama kereta arwah dari Kelantan ke Pasir Gudang.

Katanya, ini merupakan kali pertama anaknya dan menantunya, Allahyarhamah Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, pulang beraya di Pasir Puteh, manakala dia bersama isteri dan anak pulang ke kampung halamannya di Tumpat.

“Saya bergerak lebih awal dalam perjalanan pulang ke Johor dan mereka berada di belakang. Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada polis memaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Sebagai bapa, memang sedih kerana kami sekeluarga sudah merancang kehidupan mereka selepas ini. Namun kami reda dan menerima ketentuan Ilahi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, anak dan menantunya itu baru merancang untuk berpindah ke rumah baharu selepas pulang beraya di Kelantan sempena Aidiladha.

Menurutnya, dia baharu membelikan sebuah rumah di Taman Rinting buat pasangan itu yang telah berkahwin sejak Julai tahun lalu.

“Mereka sebelum ini tinggal sementara di rumah saya di Taman Kota Masai baru sahaja nak pindah rumah baharu. Kunci rumah baharu pun saya dah ambil sebelum mereka pulang beraya ke Kelantan sehari sebelum perayaan Aidiladha.

“Mereka turut bercadang beli kelengkapan rumah selepas raya dan berpindah ke rumah itu. Tetapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian,” ujarnya lagi.

Muhamad Bustamam berkata, jenazah Muhammad Firdaus yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, manakala jenazah isterinya dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Puteh.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lagi kenderaan.

Kemalangan dipercayai pukul 5.10 petang itu berlaku ketika hujan lebat turut menyebabkan pasangan suami isteri berusia 53 tahun yang menaiki sebuah lagi kenderaan cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN