fbpx
TUARAN memiliki beberapa lokasi menarik untuk dilawati oleh pelawat.

Tuaran, permata ‘singgah’ yang kian memikat pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apabila berbicara tentang destinasi popular di Sabah, ramai pelancong lazimnya terus membayangkan keindahan Kundasang, hiruk-pikuk Kota Kinabalu atau panorama pulau-pulau tropika yang memukau.

Namun di sebalik laluan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Kundasang, tersembunyi sebuah daerah kecil yang semakin mendapat perhatian kerana keunikan budaya dan gastronominya iaitu Tuaran.

Terletak kira-kira 34 kilometer dari Kota Kinabalu, Tuaran sering dianggap sekadar lokasi persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan tanah tinggi Kundasang atau Ranau.

Hakikatnya, daerah ini memiliki pesona tersendiri yang cukup memikat, terutama bagi pencinta makanan dan pengembara yang mahu menikmati sisi Sabah yang lebih santai dan autentik.

Naib Presiden Kawasan dan Ketua Serantau Asia Tenggara, Hilton, Alexandra Murray berkata, Sabah sejak sekian lama menjadi destinasi pilihan pelancong yang mencari keindahan alam semula jadi, suasana lapang dan pengalaman percutian yang menenangkan.

“Menerusi pembukaan Hotel Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran, kami menawarkan pengalaman percutian tepi pantai yang santai dan mudah dinikmati, sesuai untuk keluarga dan pelancong yang ingin berehat, menyegarkan diri serta menikmati penginapan dengan keselesaan, layanan yang boleh dipercayai dan hospitaliti yang mesra,” katanya.

Menurut Pengurus Besar Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran pula iaitu Kristine Chan, ramai pelancong masih belum menyedari potensi sebenar Tuaran sebagai destinasi percutian.

“Tuaran selalunya menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kundasang. Tetapi sebenarnya Tuaran mempunyai daya tarikannya sendiri, terutama dari segi makanan, budaya dan suasana yang lebih tenang,” katanya.

Lokasi strategik itu turut menjadi pintu masuk ke pelbagai tarikan terkenal di utara Sabah, termasuk Kinabalu National Park yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Sains,

Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta pengalaman budaya unik di Linangkit Cultural Village.

Pengalaman menelusuri Sungai Papat yang dikelilingi hutan paya bakau yang subur untuk aktiviti melihat kelip-kelip juga boleh dilakukan. Ia menjadi aktiviti pelancongan menarik di daerah Tuaran.

Antara tarikan paling sinonim dengan daerah ini tentunya mi Tuaran, hidangan ikonik yang sudah lama menjadi identiti masyarakat tempatan.

Mi kuning tebal yang diperbuat daripada telur itu digoreng bersama hirisan daging, sayuran segar dan kadangkala makanan laut, menghasilkan rasa ‘light’ namun cukup menyelerakan.

Kongsi Chan lagi, mi Tuaran begitu terkenal sehingga ramai sanggup memandu dari Kota Kinabalu semata-mata untuk menikmati hidangan tersebut di kedai-kedai kopi lama sekitar pekan Tuaran.

Selain makanan, Tuaran juga menawarkan suasana daerah kecil yang damai dengan kehidupan masyarakat tempatan yang masih kuat mempertahankan tradisi.

Pengunjung boleh melihat deretan kedai lama, pasar tempatan dan menikmati pemandangan sungai serta kawasan kampung yang memberikan pengalaman berbeza daripada kesibukan bandar.

Bagi pencinta alam, kawasan sekitar Tuaran turut memiliki pantai yang cantik dan suasana matahari terbenam yang mempesonakan.

Keindahan semula jadinya menjadikan daerah ini sesuai untuk mereka yang mahu berehat seketika daripada kesibukan rutin harian.

Dalam masa sama, pembangunan sektor hospitaliti di Tuaran turut membantu membuka mata pelancong terhadap potensi daerah berkenaan.

Kehadiran hotel dan penginapan moden memudahkan pengunjung menjadikan Tuaran sebagai destinasi singgah lebih lama, bukan sekadar berhenti makan sebelum meneruskan perjalanan.

Bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman Sabah yang lebih santai, dekat dengan budaya tempatan dan kaya dengan cita rasa asli, Tuaran mungkin destinasi yang selama ini terlepas daripada radar percutian.

Kini, daerah kecil itu perlahan-lahan membuktikan bahawa ia bukan lagi sekadar laluan ke tempat lain, sebaliknya sebuah destinasi yang wajar diterokai dengan lebih dekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN