SIAPA sangka, kewujudan jenama Bartech Beautee pada 2023 adalah hasil naluri seorang ibu yang mahu melindungi dan menyelesaikan masalah anaknya.
Segalanya tercetus apabila anak sulung Nurul Adlinna Mohammad Bakri, 39, berdepan pengalaman pahit di sekolah baharu apabila warna kulitnya dipersoalkan oleh rakan-rakan.
Akibatnya, remaja itu berubah menjadi pendiam dan hilang keyakinan diri hingga mula mencari pelbagai produk di media sosial untuk mendapat kulit lebih cerah.
Bimbang melihat perubahan emosi dan keselamatan produk yang dicari anaknya, Pengasas dan Pengarah Bartech Empire itu mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan seorang ahli kimia untuk menghasilkan formulasi yang benar-benar selamat dan sesuai.
Menurutnya, setelah diuji sendiri, produk tersebut memberikan hasil yang luar biasa sehingga menarik perhatian guru dan pelajar di sekolah anaknya.
“Wanita pada hari ini bukan sahaja mencari produk kecantikan berkesan, malah mahu jenama yang memahami keperluan gaya hidup mereka.
“Kami mahu tampil sebagai jenama yang dekat dengan pengguna serta memberi pengalaman penjagaan diri lebih menyenangkan,” katanya kepada K-Wanita ketika ditemui di ibu pejabat Bartech Empire di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Menyedari generasi muda hari ini mahukan kesan pantas dan efektif, Bartech Beautee yang tular di platform TikTok ketika ini bakal melangkah setapak lagi dalam aspek teknologi.
Menurut wanita dikenali sebagai Adlinna itu, syarikatnya bakal memperkenalkan aplikasi sistem Bartech to AI (kecerdasan buatan) yang memudahkan pengguna mengimbas kulit wajah secara online melalui laman web mereka.
“Sistem AI ini membantu para pelanggan mengimbas kulit wajah tanpa perlu pergi ke pusat kecantikan.
“Selain menjimatkan masa dan kos, sistem ini lebih fleksibel serta efektif bagi membantu pelanggan untuk terus mendapatkan produk kami,” katanya.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini, Bartch Beautee bakal menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Diaju mengenai cabaran serta pesaingan, Adlinna mengakui industri kecantikan sangat kompetitif.
Pun begitu, pendekatan pemasaran moden dan sokongan komuniti yang kuat meletakkan Bartech Beautee sebagai antara jenama tempatan paling berpotensi besar serta boleh dipercayai.
Buktinya, sepanjang tahun ini, jenama tersebut telah meraih dua pengiktirafan tinggi industri iaitu Anugerah Bumiputera Bestbrands 2026 kategori Consumer Cosmetics dan Anugerah The BrandLaureate Bumiputera Brandleadership Award Beauty & Cosmetics 2026.
Tambah Adlinna, Bartech Beautee tidak hanya berhenti di pasaran domestik, malah sedang dalam perancangan agresif untuk menembusi pasaran Indonesia tidak lama lagi.
Menerusi gabungan formulasinya yang teliti, sokongan teknologi AI dan visi global, Bartech Beautee membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa, sekali gus menjadi rujukan gaya hidup wanita moden pada hari ini.














