LEIPZIG – Pengendali Crystal Palace, Oliver Glasner mengakui gembira dapat menyelesaikan tugas terakhirnya sebagai pengurus selepas membantu kelab itu merangkul kejuaraan Liga Konferens Europa awal pagi semalam.
Gol separuh masa kedua daripada Jean-Philippe Mateta memastikan Palace menang 1-0 ke atas Rayo Vallecano sekali gus menghadiahkan trofi Eropah pertama dalam sejarah kelab itu.
Glasner sebelum ini mengumumkan pada Januari bahawa musim ini akan menjadi tahun terakhirnya di selatan London dan beliau menamatkan tugas dengan memenangi trofi utama kedua bersama kelab tersebut.
Kemenangan itu turut memastikan Palace layak ke Liga Europa musim depan selepas peluang mereka dinafikan musim ini ekoran konflik pemilikan kelab yang menyebabkan mereka dikenakan sekatan.
“Saya sendiri tidak percaya ini perlawanan terakhir saya. Saya yang membuat keputusan untuk meninggalkan Palace. Ini satu bab yang indah dalam buku Crystal Palace, tetapi masih banyak lagi bab akan menyusul.
“Saya beritahu para pemain, sekarang mereka mendapat apa yang mereka layak selepas memenangi Piala FA. Penyertaan ke Liga Europa tertangguh setahun. Kelab, penyokong dan pemain kini mendapat apa yang mereka layak. Kadang-kadang anda perlu melalui jalan yang lebih panjang dan sekarang Crystal Palace berada di tempat yang sepatutnya,” katanya.
Glasner mengakui kejayaan yang diraih Palace bukanlah disebabkan kemampuan dirinya sebaliknya memberikan kredit kepada seluruh para pemain yang memberikan sepenuh jiwa ketika beraksi.
“Saya hanya membimbing kumpulan pemain dan staf ini serta memberi sokongan kepada mereka. Saya benar-benar yakin bahawa saya tidak boleh melakukan apa-apa tanpa pemain.
“Mereka juga bekerja sangat keras dan saya rasa setiap pemain tahu saya seorang yang sangat menuntut. Jika sesuatu tidak berjalan seperti yang saya mahukan, atau pemain menurunkan standard walaupun satu atau dua peratus, saya tidak boleh menerimanya,” ujarnya. – AGENSI














