KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) meneruskan tradisi tahunan apabila menumbangkan 18 ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, daripada jumlah itu, 11 ekor lembu adalah hasil penyertaan warga TDM, manakala tujuh lagi merupakan sumbangan khas rakan strategik dan pihak luar.
Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan agama, malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim pegawai dan anggota dari pelbagai peringkat.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang turut mengambil bahagian untuk acara hari ini. Dari segi agihannya pula, kita akan lihat berapa banyak yang kita dapat.
“Bungkusan-bungkusan (daging) tersebut kita akan pulangkan kepada siapa yang terlibat secara langsung untuk penyertaan ibadah korban kali ini, manakala selebihnya akan serahkan kepada golongan yang layak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad Suria, kira-kira 500 pegawai dan anggota memeriahkan program di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Program korban itu turut dilaksanakan di kem-kem Tentera Darat di seluruh negara sejak semalam hingga hari ketiga Aidiladha.
“(Program ini) dilaksanakan secara bergotong-royong. Selain menyahut tuntutan agama, kita juga mahu mengeratkan hubungan sesama kita tanpa mengira lapisan sama ada pegawai atau peringkat bawahan,” ujarnya.
Mohamad Suria turut menzahirkan penghargaan kepada anggota TDM yang bertugas di perbatasan, sempadan dan pulau ketika sambutan Aidiladha.
“Teruskanlah melaksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas. Yang penting (pastikan) keadaan betul-betul sihat agar negara ini terus aman dan segala ancaman dapat kita kekang seawalnya.
“Saya yakin apabila pulang nanti, saya pasti ada sambutan istimewa yang akan disediakan oleh keluarga masing-masing dan pasukan,” katanya.
Pada masa sama, TDM dalam kenyataannya memaklumkan, pasukannya akan terus komited dalam melaksanakan program berbentuk keagamaan serta kemasyarakatan yang holistik selaras dengan aspirasi TDM dalam memperkukuhkan hubungan murni antara warga tentera dan masyarakat.
Jelas TDM, keseluruhan proses bermula daripada penyembelihan, melapah, memotong sehinggalah kepada pembungkusan dan seterusnya pengagihan daging.
“Daging korban yang telah siap diproses seterusnya diagihkan secara kepada warga TDM, keluarga anggota, serta golongan asnaf di sekitar Lembah Klang termasuk diserahkan khas kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan bagi menyemarakkan semangat berkongsi rezeki bersempena Aidiladha,” kata TDM. – KOSMO! ONLINE














