SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 15,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tinjauan Kosmo! mendapati pekarangan masjid itu dipenuhi orang ramai dengan solat sunat diimamkan Imam Datuk Muhammad Farhan Wijaya bermula pukul 8 pagi.
Sementara itu, dalam khutbah bertajuk ‘Eiduladha: Iman dan Pengorbanan’ yang dibacakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir menyeru umat Islam yakin bahawa Aidiladha bukan hanya sekadar perayaan dan sembelihan korban namun setiap kejayaan dalam ketaatan kepada Allah memerlukan usaha dan pengorbanan berterusan.
“Umat Islam perlu menghayati kisah Nabi Ibrahim dan Ismail yang mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang mampu melahirkan insan bertakwa serta bersatu hati.
“Setiap ibadah hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah supaya dapat meraih rahmat dan kurniaNya selain memperoleh kesejahteraan hidup di dunia sertar akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 28 lembu termasuk seekor hasil sumbangan Sultan Sharafuddin dikorbankan pada ibadah korban di pekarangan masjid berkenaan. – KOSMO! ONLINE














