fbpx
KUMPULAN Smart Innovative dan guru pembimbing, Ahmad Fadhirul (kanan) menunjukkan prototaip projek Smart Worm Bin

Inovasi pelajar SMA Repah jadikan sisa organik bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Masalah sisa organik terutamanya di kantin telah menjadi pencetus idea buat sekumpulan pelajar sekolah agama menghasilkan inovasi ‘bernilai’ buat negara.

Bahkan, inovasi yang diberi nama Smart Worm Bin itu berjaya menjulang nama Sekolah Menengah Agama (SMA) Repah, Tampin, Negeri Sembilan, apabila muncul sebagai juara pertandingan KPS Berhad Celik Initiative 2025 mengalahkan lapan sekolah lain.

Menurut Ketua Kumpulan Smart Innovative berkenaan, Sayyed Izzul Ziqri, 15, inovasi yang sama juga baru saja meraih johan pada Aspirasi Anak Juara (AURA) ILMI, Sekolah Menengah Agama Negeri Sembilan.

“Smart Worm Bin ialah inovasi tong kompos pintar yang dibangunkan untuk mengurus sisa organik kantin sekolah secara lebih bersih, sistematik dan mesra alam.

“Projek prototaip ini menggunakan kaedah vermikompos iaitu proses penguraian sisa organik menggunakan cacing African Night Crawler (ANC) bagi menghasilkan baja organik berkualiti tinggi yang dinamakan BajaCing,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Ujar Sayyed Izzul, inovasi berkenaan menjadikan sisa organik lebih cepat terurai iaitu dalam tempoh sehari berbanding kaedah lama yang memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Menurutnya, sisa organik yang terurai berkenaan seterusnya akan menjadi baja yang mampu meningkatkan pengeluaran tanaman.

“Istimewanya, inovasi ini menggunakan cacing ANC untuk menguraikan sisa organik. Namun, cacing ini sensitif kepada suhu serta hanya sesuai dengan kelembapan tertentu.

“Halangan ini membolehkan kami tampil dengan idea inovasi (teknologi) menggunakan teknologi IoT (Internet of Things) Arduino dan Blynk bagi pengkodan penjagaan cacing dengan menggunakan sensor pengesan kelembapan serta suhu.

“Semua yang direkodkan akan terpapar di LCD (paparan kristal cecair). Sekiranya sensor ini mengesan sebarang kelembapan dan suhu yang tidak sesuai untuk cacing, pelembap udara akan diaktifkan untuk memastikan cacing ini tidak mati serta terus menjalankan fungsi mengurai sisa,” ujarnya.

Sayyed IZZUL (tiga dari kiri) bersama ahli kumpulannya menunjukkan baja yang terhasil daripada sisa organik di SMA Repah di Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tambahnya, humidifier automatik turut digunakan untuk mengawal kelembapan habitat cacing.

Dalam pada itu, Sayyed Izzul berkata, idea yang tercetus pada April tahun lalu itu terinspirasi selepas melihat kantin sekolah menghasilkan sisa organik seperti sisa buah, sisa sayur dan kotak telur.

“Jika sisa ini kita tidak lakukan apa-apa, ia boleh mengundang lalat, bau busuk, serta mengundang tikus sehingga boleh menyebabkan penyakit leptospirosis atau kencing tikus,” katanya.

Justeru, kumpulannya mula membuat pencarian di internet mengenai langkah mengatasi masalah berkenaan, sebelum terhasilnya projek tersebut yang dijangka mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi lagi.

“Kini, kumpulan ini dianggotai empat pelajar iaitu Abdullah Fawwaz Mohd Najib, 13, Muhammad Ammar Zakwan Mohd Rafizi, 14, Ahmad Farish Hakeem Abdullah, 16, dan Ameer Harith Noor Azam, 13,” katanya.

Bagi Abdullah Fawwaz, dia berasa sangat seronok dapat menyertai kumpulan berkenaan, lebih-lebih lagi baru berada di tingkatan satu.

“Banyak yang saya belajar mengenai teknologi. Pendedahan seperti ini dapat meningkatkan lagi minat pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Farish Hakeem berpendapat, perkongsian ilmu dalam bidang STEM serta TVET antara pelajar dapat memperkukuhkan pemahaman dalam bidang berkenaan.

“Malah, ia secara tidak langsung dapat memupuk ciri inovator pelajar yang mampu mengubah idea menjadi realiti,” katanya.

Bagi Muhammad Ammar Zakwan, pengalaman muncul sebagai johan di dua pertandingan melalui Smart Worm Bin telah meningkatkan lagi semangat mereka untuk tampil dengan idea baharu bagi penambahbaikan projek berkenaan.

“Kami merancang untuk menggunakan teknologi solar pula untuk menjimatkan kos projek ini jika ingin dikembangkan lagi,” katanya.
Ameer Harith pula berpendapat, penyertaannya dalam kumpulan berkenaan telah membantunya menjadi lebih mahir dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah.

“Dalam projek ini, masalah utama adalah lambakan sisa organik di kantin.

“Jadi, saya belajar setiap masalah yang timbul bukan hanya boleh diselesaikan dengan baik, bahkan mampu memberi manfaat kepada pihak lain seperti Bajacing ini,” katanya.

Sementara itu, guru penasihat, Ahmad Fadhirul Fitri berkata, Smart Worm Bin merupakan produk yang kini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Menurutnya, projek inovasi seumpama itu sangat baik bagi mendedahkan pelajar dengan kemahiran yang melibatkan hands-on atau amali.

“Malah, pelajar akan lebih aktif dalam menyalurkan idea kreatif bagi mereka cipta inovasi dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah.

“Langkah ini juga menjadikan pelajar lebih bersedia untuk alam kerjaya sebenar yang melibatkan kemahiran teknikal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN