fbpx
Shazeli ketika sidang akhbar di IPK Selangor. FOTO: AFIQ RAZALI

Tikam pelajar: Tikam rakan sebab ‘pendam perasaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Rasa tidak puas hati dan memendam perasaan terhadap beberapa individu yang kononnya membulinya dijadikan alasan kepada seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal siasatan awal mendapati dakwaan suspek itu masih belum disokong dengan keterangan yang menunjukkan kejadian buli benar-benar berlaku.

Menurutnya, siasatan sepenuhnya masih dilakukan agar kesimpulan motif tersebut dalam dirungkai sepenuhnya.

“Hasil siasatan awal peringkat ini, kita mendapati alasan diberikan adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek tersebut.

“Namun, hasil daripada keterangan-keterangan yang diberi tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut.

“Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan daripada individu termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial dan dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Rakaman percakapan telah diambil daripada ramai saksi, namun saya tidak dapat mendedahkan jumlahnya.

“Semua individu termasuk nama-nama yang tular dalam senarai itu telah dipanggil dan diambil keterangan,” katanya.

Mengulas keadaan mangsa, Shazeli berkata, pelajar berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan serta menjalani proses pemulihan di hospital.

“Temu bual terhadap mangsa juga telah dijalankan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan suspek dipengaruhi hantaran media sosial berunsur jenayah, Shazeli menegaskan, siasatan masih dijalankan termasuk daripada aspek itu yang dipercayai boleh mempengaruhi minda dan kelakuan suspek.

“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN