KUALA LUMPUR – Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya berjaya dalam permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes suapan RM500,000 berhubung pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md. Nurdin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Hydroshoppe dan pengarahnya Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52, selaku pemohon untuk memindahkan perbicaraan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Kes itu berkaitan penawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Noor Ruwena berpendapat permohonan itu mempunyai merit selepas berpuas hati dengan hujahan pemohon bahawa akan timbul kesukaran yang luar biasa berhubung isu undang-undang jika perbicaraan didengar di Mahkamah Sesyen.
Semasa prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirhu Samsudin manakala pemohon-pemohon diwakili peguam Joshua Tay dan Tang Jian Yearn.
Pada 15 Mei lalu, Hakim Noor Ruwena selesai mendengar hujah peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili responden.
Sebelum ini, Amer Hamzah berhujah, pertuduhan membabitkan dua entiti berasingan iaitu terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu lagi terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A(1)(a) akta yang sama.
“Walaupun berasingan, kedua-duanya adalah berdasarkan dakwaan yang sama, menimbulkan kebimbangan berkaitan pertuduhan terhadap diri sendiri dan potensi bahaya berganda.eguam itu menambah bahawa pertuduhan dalam kedua-dua prosiding itu menimbulkan persoalan undang-undang yang rumit, khususnya mengenai pelanggaran Perkara 5, 7, dan 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata Amer Hamzah.
Farah Ezlin bagaimanapun berhujah bahawa bahaya berganda tidak timbul kerana pertuduhan membabitkan pihak berbeza.
Hujah beliau, ia melibatkan Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu manakala Seksyen 17A Akta yang sama ditujukan kepada Hydroshoppe sebagai sebuah syarikat,” ujar Farah Ezlin.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, 5 hingga 7 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober, serta 1 hingga 4 Disember ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pemohon, tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen dilapangkan.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan itu menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat sama di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –KOSMO! ONLINE














