PETALING JAYA – Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria, 38, yang maut dalam nahas di Pelantar Sepat berhampiran perairan Terengganu-Kelantan semalam, merupakan penderma darah setia di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka.
Bahkan, Allahyarham juga sempat melakukan kebajikan menderma darah untuk kali terakhir pada 15 Mei lalu.
Perkara itu dikongsikan Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Melaka menerusi hantaran pada akaun Facebook Melakabloodbank hari ini.
“Dengan penuh rasa dukacita, warga Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Melaka merakamkan ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria serta semua mangsa yang terkorban dalam tragedi bot penyelamat jatuh ke laut di platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan.
“Allahyarham merupakan penderma darah setia Melakabloodbank dengan pendermaan terakhir pada 15 Mei di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka,” menurut hantaran berkenaan.
Dalam pada itu, pihaknya turut menghargai jasa Allahyarham Ahmad Fiqri menderma darah sekali gus membantu pesakit yang memerlukan.
“Jasa dan pengorbanan Allahyarham amat dihargai dan akan sentiasa dikenang. Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberi kekuatan serta ketabahan,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, tiga pekerja Pelantar Sepat yang berada di dalam bot penyelamat terjunam ke dalam laut pada ketinggian 20 meter setelah tali atau cangkuk yang mengikat bot tersebut dipercayai tercabut secara tiba-tiba.
Kejadian tersebut berlaku sewaku latihan penyelenggaraan bot dilakukan di FSO Sepat pada pukul 12.50 tengah hari.
Selain Ahmad Fiqri, dua lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Nik Muhammad Hafifi Ab Majid, 38, dan Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28. – KOSMO! ONLINE














