POKOK SENA – Seorang pemandu jengkaut cedera parah selepas terperangkap dalam runtuhan tanah dan batu di sebuah tapak kuari dekat Bukit Tembaga, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Zaidi Dali, 29.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 petang.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati berlaku runtuhan tanah serta batu yang menghempap sebuah jengkaut.
“Pemandu jengkaut didapati dalam keadaan tersepit dan terperangkap dalam runtuhan tersebut. Struktur pintu dan rangka kabin jengkaut juga mengalami deformasi serta dipenuhi tanah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota bertindak menstabilkan jentera sebelum menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik dan alat khas bagi membuka ruang akses kepada mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














