KUALA TERENGGANU – Cuti persekolahan telah bermula dan Hari Raya Aidiladha bakal disambut Rabu ini, namun aliran trafik terutama di pusat bandar raya ini masih tenang dan tidak sesak seperti kebiasaan.
Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan pelancong dan perantau seperti Pasar Besar Kedai Payang di sini dan kawasan sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Pantai Batu Burok juga mendapati ia agak lengang.
Seorang peniaga, Mohd Alif Fayumie, 35, berkata, biarpun berlaku sedikit peningkatan pengunjung, suasana musim perayaan Aidiladha dan persekolahan kali ini tidak semeriah sebelum ini.
“Kalau sebelum ini, Pasar Payang akan penuh dengan anak-anak perantau atau pelancong yang bercuti ke negeri ini, sebelum pukul 12 tengah hari setiap hari.
“Namun kali ini tidak sesak macam selalu walaupun ramai sikit berbanding hari biasa,,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini hari ini.
Senada dengannya, peniaga kedai makan, Nuriza Yusoff, 52, berkata, dia menjangkakan pelanggan pada musim cuti persekolahan ini akan meningkat mendadak, namun jangkaan itu jauh meleset.
“Dulu kalau musim cuti sekolah atau perayaan, pukul 9 pagi semua menu makanan sarapan saya sudah habis terjual. Kali ini sebaliknya, pukul 11 pagi masih ada tersisa lagi. Kalau berterusan, saya terpaksa anggar semula penyediaan makanan bagi mengelak pembaziran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














