fbpx
ZRA menjelaskan sebab beliau terpaksa pulang awal dan tidak bersama-sama dalam sidang akhbar di KLIA 1 malam tadi.

[VIDEO] ZRA sekali lagi ‘hilang’ selepas sampai KLIA 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA sekali lagi mencuri perhatian apabila ‘hilang’ sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) bersama 27 lagi peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 semalam.

Ketiadaan bekas wartawan berusia 58 tahun itu pada sidang akhbar kepulangan delegasi Malaysia semalam menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai memandangkan beliau antara individu yang mengikuti pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza sebelum ditahan tentera Israel.

Bagaimanapun, misteri ‘kehilangan’ ZRA terjawab selepas kenalannya, Mohd Faisol Pauzi berkongsi rakaman video penjelasan beliau menerusi TikTok lewat malam tadi.

Menerusi video tersebut, ZRA memaklumkan beliau terpaksa pulang lebih awal kerana perlu mengambil ubat selepas empat hari tidak memakannya secara lengkap sepanjang misi berkenaan.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan. Kami semua selamat tiba di tanah air, cuma seorang rakan kami, Kapten Razman masih dirawat di Istanbul. Doakan untuk dia supaya segera pulih.

“Saya terpaksa balik faktor nak ambil ubat, kerana saya dah empat hari ubat tak lengkap saya makan. Insya-Allah kalau nanti berkelapangan saya dah sihat balik saya akan mula balik live (siaran langsung) di ZRA Strim. Terima kasih,” katanya.

Ini bukan kali pertama ZRA memilih untuk ‘menghilangkan diri’ selepas pulang daripada misi GSF.

Pada Oktober tahun lalu, beliau turut dilaporkan pulang secara senyap-senyap dibantu beberapa rakan rapat tanpa sebarang sambutan rasmi ketika delegasi Malaysia yang menyertai GSF terdahulu diraikan di KLIA 1.

Selain ZRA, seorang lagi peserta, Muhammad Hareez Adzrami atau mesra disapa Haroqs juga dilaporkan terpaksa pulang awal dan tidak dapat mengikuti sidang akhbar bersama delegasi GSF 2.0 negara.

Terdahulu, kepulangan delegasi Malaysia dari Istanbul disambut ahli keluarga dan penyokong di KLIA 1 selepas mereka melalui detik mencabar ketika pelayaran misi bantuan ke Gaza termasuk diculik dan ditahan rejim Zionis.

Dalam perkembangan sama, seorang peserta Malaysia, Razman Mat Ali dilaporkan masih menerima rawatan di Istanbul kerana mengalami ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor selepas dilayan secara kasar termasuk ditumbuk oleh tentera Israel ketika berada dalam tahanan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim dilaporkan berkata, doktor memaklumkan tekanan udara dalam penerbangan boleh menyebabkan keadaan Razman menjadi lebih kritikal termasuk berisiko membawa maut dan dijangka boleh pulang kira-kira 21 hari lagi. – KOSMO! ONLINE

@mohdfaisolpauzi @ZRA STRIM ucapkan terima kasih kepada semua rakyat malaysia yg mendoakan keselamatan..terpaksa bergegas balik sebab dah 4 hari kehabisan ubat… #zrastrim #sumudflotilla ♬ こぼさない角度 – yasuhiro soda

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN