SISTEM kesihatan di seluruh dunia telah lama dibina berasaskan model ‘penjagaan penyakit’ (sick care) iaitu sebuah sistem yang direka untuk mendiagnosis dan merawat penyakit selepas berlaku.
Pendekatan ini telah membawa kemajuan yang luar biasa dalam bidang pembedahan, perubatan kecemasan, rawatan rapi dan rawatan pakar. Namun, dalam mendepani rencam cabaran sistem kesihatan hari ini, jelas merawat penyakit semata-mata tidak lagi memadai.
Kini, hospital di banyak negara termasuk di Malaysia semakin terbeban. Isu masa menunggu yang panjang, kesesakan di jabatan kecemasan, kelewatan kemasukan ke wad, pesakit dirawat di koridor, kelewatan ambulans, kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos kesihatan kerap menjadi tajuk utama berita.
Krisis serupa turut dilaporkan di seluruh dunia, dari United Kingdom hinggalah ke Australia. Cabaran ini bukan sekadar memaparkan kegagalan pengurusan hospital, sebaliknya ia merupakan tanda ketidakseimbangan sistemik yang lebih mendalam.
Ini merupakan hasil sistem kesihatan kita yang terlalu tertumpu kepada perawatan penyakit yang sudah melarat, berbanding mengekalkan kesihatan dan pencegahan penyakit lebih awal.
Hospital dan jabatan kecemasan adalah tonggak utama sistem kesihatan, namun komponen ini juga memerlukan sumber paling intensif dan menelan kos tinggi.
Apabila hospital terpaksa menampung limpahan penyakit kronik yang tidak terkawal, jangkitan boleh dicegah dan keperluan kesihatan awal tidak dipenuhi.
Namun, natijahnya mudah diramal seperti kesesakan melampau, kelesuan petugas, lonjakan kos serta penderitaan yang sia-sia. Sistem kesihatan yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hospital untuk menyelesaikan masalah yang pada asasnya bermula di peringkat awal.
Model ‘penjagaan penyakit’ konvensional adalah bersifat reaktif. Pesakit selalunya hanya akan mendapatkan rawatan selepas gejala menjadi serius, apabila penyakit sudah berada pada tahap lewat. Kesannya, rawatan menjadi lebih rumit, mahal dan kurang berkesan.
Sebaliknya, model penjagaan kesihatan yang sebenar harus bersifat proaktif. Tujuannya adalah untuk mencegah penyakit sebelum ia bermula, mengesan gejala lebih awal dan melakukan intervensi sebelum komplikasi yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pendekatan ini amat penting untuk menangani beban penyakit moden seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, obesiti, penyakit paru-paru, penyakit buah pinggang, kesihatan mental dan jangkitan boleh dicegah.
Penjagaan pencegahan adalah teras utama transformasi ini. Ia bukan sekadar melibatkan pendidikan kesihatan, sokongan pemakanan atau galakan gaya hidup aktif, malah ia merangkumi intervensi klinikal yang ampuh seperti program saringan serta pengukuhan imunisasi.
Vaksinasi sebagai contoh, kekal sebagai antara intervensi pencegahan yang paling kos efektif dalam sejarah perubatan.
Imunisasi tidak terhenti apabila berakhirnya usia kanak-kanak. Bagi warga emas dan golongan berisiko, vaksin influenza dan pneumokokal adalah perisai daripada komplikasi jangkitan pernafasan; vaksin HPV dan Hepatitis B pula boleh mencegah pelbagai jenis kanser.
Malah, pandemik Covid-19 membuktikan bahawa pencegahan mampu mengekalkan kapasiti sistem kesihatan, di samping dapat mengurangkan kadar kematian, mengelakkan kunjungan ke kecemasan, kemasukan ke unit rawatan rapi dan komplikasi jangka panjang.
Namun, pencegahan melangkaui penggunaan vaksin. Perubatan moden kini menawarkan pencegahan ubat-ubatan yang mampu mengubah trajektori penyakit sebelum implikasi buruk berlaku.
Di samping ubat-ubatan konvensional seperti antihipertensif dan statin yang telah lama terbukti menurunkan risiko serangan jantung serta strok, ubat-ubatan inovatif baharu kini memperluas potensi ini.
Terapi seperti perencat SGLT2 (SGLT2i), agonis reseptor GLP-1 (GLP-1 RA) dan perencat PCSK9 (PCSK9i) mampu mengurangkan risiko kardiovaskular, metabolik dan buah pinggang secara serentak pada fasa awal.
Penggunaan ubat-ubatan inovatif ini secara tepat terbukti mengekang perkembangan penyakit, menurunkan kadar kemasukan ke hospital dan meningkatkan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, masih wujud ketidakseimbangan dari segi dasar pengagihan sumber.
Akses kepada ubat-ubatan pencegahan inovatif ini sering kali dipusatkan di peringkat penjagaan sekunder dan tertier hingga menyebabkan kelewatan akses bagi pesakit yang sepatutnya menerima manfaat pada fasa awal.
Di hospital, pesakit biasanya hanya akan dilihat selepas penyakit sudah melarat secara teruk. Ini merupakan satu kerugian strategik yang besar. Sektor penjagaan primer dan perubatan keluarga memegang peranan strategik sebagai rantaian pertama untuk mengesahkan faktor risiko, mengurus kesinambungan penjagaan dan melaksanakan pencegahan secara berskala dan sistematik.
Mengehadkan inovasi ini di peringkat kepakaran hospital hanya menyebabkan sistem kekal menanggung beban penyakit yang sepatutnya boleh ditangani bertahun-tahun lebih awal.
Di sinilah penjagaan primer dan perubatan keluarga memainkan peranan yang paling kritikal. Doktor keluarga dan pakar perubatan keluarga berada pada kedudukan unik untuk menyediakan kesinambungan penjagaan sepanjang hayat, mengintegrasikan aspek pencegahan ke dalam rawatan harian dan mengurus pesakit secara holistik.
Melalui penjagaan primer, pesakit boleh menerima vaksinasi dewasa, saringan penyakit kronik, intervensi ubat awal dan pemantauan berterusan sebelum penyakit menjadi melarat.
Apabila sistem penjagaan primer lemah atau kekurangan sumber, hospital akhirnya terpaksa menjadi penyedia utama bagi masalah yang sepatutnya boleh dicegah.
Diabetes yang terabai melarat menjadi kegagalan buah pinggang, hipertensi yang tidak terkawal membawa kepada strok, dan krisis kesihatan mental memuncak menjadi kes kecemasan akut.
Sempena Hari Doktor Keluarga Sedunia yang disambut pada 19 Mei lalu, penekanan harus diberikan kepada reformasi dasar dan pembiayaan kesihatan negara.
Sistem sedia ada sering kali memberi peruntukan dan ganjaran yang lebih besar kepada prosedur akut pasca penyakit berbanding usaha pencegahan jangka panjang. Matlamat utama penjagaan kesihatan bukan sekadar merawat penyakit dengan cekap tetapi untuk mencegah penyakit, mengurangkan penderitaan dan memanjangkan jangka hayat yang sihat.















