fbpx
Aqilah dan pasukannya telah merangkul tempat pertama dalam program Green X Lab di Universiti Tianjin, Shenzhen, China iaitu sebuah bandar yang dikenali sebagai hab inovasi dunia baru-baru ini.

Aqilah juarai kelestarian global di Shenzen, kuat mental kerana larian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN sebagai mahasiswa Universiti Malaya (UM) bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik di dalam dewan kuliah, sebaliknya ia menjadi platform penting bagi membentuk jati diri dan kemahiran insaniah yang kompetitif di peringkat global.

Matlamat itu yang dipegang oleh Noraqilah Zulkarnain, 22, yang kini berada di tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Sosial dan Keadilan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM.

Gadis yang mesra disapa Aqilah itu berkata, pencapaian paling bermakna dalam perjalanan akademiknya adalah ketika kejayaan mengharumkan nama universiti di pentas dunia menerusi penguasaan isu kelestarian global.

Baru-baru ini, Aqilah dan pasukannya telah merangkul tempat pertama dalam program Green X Lab di Universiti Tianjin, Shenzhen, China iaitu sebuah bandar yang dikenali sebagai hab inovasi dunia.

Apa yang membanggakan, dia bersama pasukannya berjaya memenangi kategori pembentangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), meskipun berdepan tekanan masa amat sengit.

“Kami perlu menyediakan pembentangan bertaraf antarabangsa dalam tempoh yang sangat singkat sebaik sahaja tiba di Shenzhen. Tanpa persediaan awal, kami perlu mendalami topik kompleks seperti neutraliti karbon, pembangunan bandar hijau dan aplikasi kecerdasan buatan (AI).

“Kemenangan ini membuktikan bahawa mahasiswa sains sosial juga mampu menguasai isu teknologi dan sains alam sekitar jika diberikan peluang.

“Ia bukan sekadar tentang akademik, tetapi seruan strategik bahawa masa depan sifar karbon memerlukan keberanian dan inovasi anak muda,” ujar anak jati Selangor itu.

Kejayaan di China itu menjadi bukti keberanian Aqilah keluar dari zon selesa.

Namun di sebalik ketajaman fikirannya di pentas global, Aqilah memiliki jiwa yang sangat murni terhadap isu kemasyarakatan.

Selain itu, Aqilah memberi tumpuan kepada aktiviti sukarelawan seperti program kemasyarakatan untuk menyantuni golongan terpinggir.

Aqilah semasa pembentangan di Universiti Tianjin, China.

Antaranya, dia menyertai pelbagai program sukarelawan seperti Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) bagi mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, program khidmat masyarakat di Ronald McDonald House Charities serta program Spring Into Action dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (Makna).

“Saya sangat komited dalam aktiviti kesukarelawanan kerana percaya bahawa ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penglibatan dalam pelbagai program sukarelawan ini dapat memberi pendedahan lapangan secara langsung kepada saya.

“Saya juga percaya bahawa bantuan yang kecil mampu memberi kesan besar dalam kehidupan seseorang.

“Oleh itu, jika mempunyai masa lapang, saya sentiasa berusaha untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan kerana sukarelawan bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya satu proses pembentukan jati diri yang menjadikan saya lebih menghargai kehidupan,” jelasnya.

Tambah Aqilah, komitmennya dalam aktiviti kesukarelawanan bermula daripada subjek pengajian di kampus yang menekankan pendedahan lapangan secara langsung.

Sementara itu, Aqilah memaklumkan, ketahanan mental dan fizikalnya dalam melakukan kerja lapangan dipupuk menerusi hobi larian sejak usia kanak-kanak.

Untuk makluman, sehingga kini dia telah menyertai lebih 20 acara larian.

“Aktiviti larian mengajar saya erti disiplin dan konsistensi yang kemudiannya diaplikasikan dalam kepimpinan di kampus,” ujarnya.

Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti, namun Aqilah sentiasa meletakkan tanggungjawab akademik sebagai keutamaan dengan memastikan tugasan, kelas dan pembelajaran disusun mengikut jadual yang teratur.

Kongsinya, dia akan merancang jadual harian atau mingguan lebih awal agar setiap tugasan kuliah dapat diselesaikan mengikut masa ditetapkan tanpa menjejaskan komitmen lain.

Mengakhiri bicara, gadis yang bersemangat waja itu berhasrat untuk membina kerjaya profesional yang stabil serta memiliki jenama perniagaan sendiri.

Dia juga mahu terus menjadi inspirasi buat adiknya serta rakan mahasiswa lain.

“Pesanan saya, jangan takut mencuba perkara baharu. Kampus adalah medan terbaik untuk membina potensi diri.

“Identiti diri tidak datang dengan hanya berfikir, tetapi melalui tindakan dan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN