LEPASAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelulusan lain yang setaraf kini pastinya telah menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat prauniversiti seperti asasi, matrikulasi dan lain-lain.
Pada ketika ini, ribuan pelajar melangkah keluar daripada alam persekolahan dengan membawa bersama keputusan cemerlang dan keterujaan untuk memulakan satu perjalanan baharu dalam dunia pembelajaran berbeza.
Impian untuk meneruskan kecemerlangan demi menggapai cita-cita serta harapan keluarga yang tinggi menjadi obor pembakar semangat untuk merealisasikan tujuan tersebut.
Di sebalik suasana yang kelihatan penuh keterujaan ini, sebenarnya mereka bakal melalui satu proses peralihan signifikan dalam kehidupan sama ada dari aspek pengurusan diri, masa, bahkan cara pembelajaran.
Bagi sebahagian pelajar, tempoh ini mungkin membawa pengalaman pertama berjauhan daripada keluarga dalam jangka masa panjang terutamanya bagi mereka yang tidak pernah tinggal di asrama.
Oleh itu, mereka perlu belajar mengawal emosi dan menyesuaikan diri dengan kerinduan terhadap ahli keluarga. Para pelajar juga perlu mula belajar berdikari.
Bagi yang pernah tinggal di asrama, mereka juga tidak terlepas daripada merasakan perubahan gaya hidup kerana kawalan ketat di peringkat sekolah memaksa para pelajar untuk mematuhi segala jadual ditetapkan.
Di peringkat prauniversiti, para pelajar perlu lebih berdikari dalam menguruskan masa sendiri kerana kawalan di peringkat ini semakin longgar, sesuai dengan kepercayaan diberikan kepada mereka.
Tanpa kawalan kendiri, para pelajar mungkin boleh mengalami kejutan budaya dan akhirnya hanyut dalam kebebasan yang diberikan kepada mereka.
Untuk itu, pemilihan kawan yang sentiasa mengingatkan kepada kebaikan adalah penting supaya mereka saling berpesan-pesan antara satu sama lain supaya tidak terlalu leka dalam tempoh pengajian.
Bukan sahaja perubahan dalam aspek kehidupan, para pelajar juga perlu bersedia dengan perubahan dari aspek pembelajaran sama ada suasana, bahan rujukan dan tempoh pembelajaran semakin pantas.
Di sesetengah institusi, proses pembelajaran tidak lagi berlaku dalam kumpulan kecil seperti bilik darjah di sekolah, sebaliknya berlangsung dalam dewan kuliah melibatkan kumpulan pelajar lebih besar.
Disebabkan nisbah pelajar kepada pengajar semakin besar, maka tumpuan kepada pelajar juga berkurangan. Tidak seperti guru sekolah yang mampu mengenali setiap pelajarnya, agak mustahil seorang pensyarah mampu mengenali semua pelajar dalam kuliahnya kecuali hanya beberapa pelajar yang menonjol.
Oleh itu, pelajar sendiri perlu mempunyai disiplin tinggi untuk sentiasa hadir dan memberi fokus sepenuhnya terhadap apa disampaikan oleh pensyarah.
Perubahan ini menjadi lebih ketara apabila silibus yang lebih padat perlu dilalui dalam tempoh masa singkat.
Setiap sesi pembelajaran membawa kandungan yang banyak, dan pemahaman tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada masa kuliah semata-mata.
Dalam keadaan ini, persediaan awal seperti membaca secara ringkas topik yang akan dipelajari sebelum kuliah berlangsung boleh membantu memberikan gambaran awal, menjadikan proses memahami lebih tersusun apabila sesuatu isi disampaikan.
Tempoh pengajaran dan pembelajaran di peringkat prauniversiti juga lazimnya lebih panjang, iaitu sepanjang hari berbanding separuh hari di peringkat sekolah.
Ini bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal dan mental lebih tinggi, bahkan masa untuk mengulang kaji pelajaran juga semakin singkat iaitu hanya pada waktu malam dan hujung minggu.
Oleh itu, pelajar harus menggunakan masa sebaiknya agar ia tidak dibazirkan dengan perkara sia-sia.
Selain itu, sumber pembelajaran juga mengalami perubahan yang sangat ketara. Tiada lagi buku-buku rujukan dan latihan yang benar-benar mengikut silibus pembelajaran secara khusus kerana setiap institusi mempunyai silibus tersendiri.
Oleh itu, nota kuliah dan soalan tutorial menjadi asas utama sebagai rujukan dan latihan. Namun, pembelajaran yang lebih berkesan sering melibatkan usaha untuk meluaskan rujukan.
Buku-buku rujukan umum yang tidak terikat sepenuhnya dengan silibus masih boleh digunakan untuk membantu memberikan perspektif tambahan, namun ia memerlukan kebijaksanaan pelajar untuk menapis dan menyesuaikannya dengan kandungan silibus masing-masing.
Di samping itu, bahan rujukan dalam talian turut menjadi sumber penting, tetapi ia menuntut keupayaan pelajar untuk menilai kesahihan dan ketepatan maklumat diperoleh.
Begitu juga dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran moden. Ia boleh membantu menjelaskan konsep yang sukar atau memberikan gambaran awal sesuatu topik, namun penggunaannya perlu disertai dengan integriti dan pemikiran kritis.
AI tidak seharusnya menjadi jalan pintas untuk menyelesaikan sesuatu soalan dan tugasan yang diberikan sehingga ia menggantikan proses untuk pelajar memahami.
Jika di peringkat sekolah pelajar menjalani tempoh pembelajaran yang panjang sebelum menduduki satu peperiksaan besar menentukan masa depan mereka.
Namun, pengajian di peringkat prauniversiti rata-rata menggunakan sistem semester di mana pelajar hanya menjalani proses pembelajaran sekitar empat bulan sebelum menduduki peperiksaan.
Malah, sebelum menghadapi peperiksaan, pelajar tetap dinilai dari semasa ke semasa melalui sistem penilaian berterusan yang markahnya turut menyumbang kepada keputusan akhir.
Oleh itu, sikap suka bertangguh sama ada untuk memahami suatu pelajaran mahupun menyiapkan latihan dan tugasan yang diberikan adalah sangat berisiko dan wajib ditinggalkan.
Di peringkat ini, pelajar perlu sentiasa bersedia dan konsisten sepanjang tempoh pengajian agar dapat membentuk rentak pembelajaran lebih pantas dan tersusun.
Di samping cabaran akademik, pelajar juga perlu memenuhi tuntutan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah.
Ini kerana untuk kemasukan ke peringkat seterusnya nanti, bukan hanya kecemerlangan akademik menjadi ukuran. Malah penglibatan dalam aktiviti kokurikulum serta program pembangunan diri turut diambil kira.
Aktiviti rasmi yang dianjurkan oleh institusi seperti persatuan, program kepimpinan, pertandingan dan aktiviti pembangunan pelajar sememangnya memberi manfaat dalam membentuk kemahiran insaniah serta keyakinan diri.
Namun, penglibatan yang terlalu banyak dalam satu masa boleh menjejaskan fokus terhadap pembelajaran utama jika tidak diurus dengan seimbang.
Apatah lagi sekiranya para pelajar melibatkan diri dalam aktiviti luar yang tidak dianjurkan oleh institusi.
Maka menjadi tanggungjawab pelajar sendiri untuk membuat pertimbangan agar tidak mengganggu perjalanan akademik.
Apabila dilihat secara keseluruhan, peralihan ke alam prauniversiti bukan sekadar perubahan tempat atau sistem pembelajaran, tetapi satu proses pembentukan semula cara seseorang pelajar memahami ilmu, masa dan tanggungjawab.
Ia menuntut kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku secara serentak dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada akademik hingga kepada pengurusan diri.
Dalam proses ini, kejayaan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan yang dibawa dari sekolah, tetapi kepada kebijaksanaan dalam mengurus keutamaan dan membina disiplin berterusan.
Di sinilah proses kematangan mula berkembang, menjadikan mereka bukan sekadar pelajar, tetapi individu yang sedang bersedia untuk melangkah ke fasa kehidupan lebih luas dan mencabar selepas ini.
PENULIS merupakan Pensyarah Asasi, Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya
















