Berkecimpung dalam arena sukan sejak berusia tujuh tahun, Nik Danisha Dania Nik Saharuddin tidak pernah membayangkan minat yang berputik sejak kecil itu bakal membawanya melangkaui sempadan negara.
Kini berusia 17 tahun, remaja yang lebih mesra disapa Danisha itu telah menimba pengalaman menyertai pelbagai kejohanan di lebih 12 negara, termasuk Jepun, Bulgaria, Singapura dan Kazakhstan.
Hampir sedekad bergiat aktif dalam bidang sukan, perjalanan Danisha bukan sekadar dihiasi pencapaian dan pengalaman antarabangsa, malah sarat dengan pengorbanan, disiplin serta ketabahan yang membentuk kematangannya sebagai seorang atlet muda.
Sejak awal tahun 2025, Danisha turut aktif dalam sukan gimnastik kumpulan estetik (Aesthetic Group Gymnastics, AGG), sekali gus memperluas pengalaman menerusi penyertaan dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Terbaharu, Danisha berjaya meraih pingat emas dalam AGG Dato’ Malek Cup dan Malaysia AGG Championship yang berlangsung di Kuala Lumpur pada September lalu.
Namun, di sebalik kilauan pingat dan kejayaan yang diraih, tersimpan kisah pengorbanan keluarga, jadual latihan yang padat serta cabaran mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan atlet.
“Saya masih ingat, masa umur tujuh tahun saya cuma seorang budak kecil yang tak tahu sejauh mana sukan ini akan membawa diri saya,” katanya ketika berkongsi pengalaman bersama K-Remaja.
Mengimbas kembali detik awal penglibatannya dalam sukan, Danisha berkata segala-galanya bermula apabila dia terpilih menerusi satu sesi pemilihan bakat yang diadakan di sekolah.
Pada usia yang masih mentah, dia belum memahami sepenuhnya cabaran dan pengorbanan yang bakal mengiringi perjalanannya sebagai seorang atlet.
Antara kenangan terawal yang kekal segar dalam ingatannya ialah peluang menyertai pertandingan di Jepun ketika baru berusia tujuh tahun.
Berada di negara asing dan dikelilingi atlet daripada pelbagai latar belakang memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.
“Danisha masih kecil, jadi semuanya terasa besar. Tempat baharu, atlet-atlet dari negara lain dan pengalaman berada jauh daripada kebiasaan.
“Ada rasa takut, tetapi ada juga rasa bangga kerana diberi peluang,” katanya.
Pengalaman tersebut membuka matanya bahawa usia bukanlah penghalang untuk seseorang mengimpikan sesuatu yang lebih besar.
Di sebalik perjalanan panjang sebagai atlet, Danisha mengakui bahawa sokongan dan pengorbanan ibu bapanya menjadi antara tunjang utama yang membolehkannya terus melangkah dalam dunia sukan.
Sejak kecil, rutin hariannya dipenuhi sesi latihan, perjalanan ke pusat latihan serta penyertaan dalam pelbagai pertandingan.
Ketika rakan sebaya menikmati masa lapang bersama keluarga atau rakan-rakan pada hujung minggu, Danisha pula sering menghabiskan waktunya menjalani latihan atau dalam perjalanan menghadiri kejohanan.
Malah, komitmen terhadap sukan pernah mempengaruhi jadual persekolahannya sehingga dia hanya dapat menghadiri sekolah empat hari seminggu.
Ketika itu, segala pengorbanan tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada rutin biasa. Namun, apabila semakin dewasa, Danisha mula menyedari betapa besarnya pengorbanan masa, tenaga dan kewangan yang ditanggung keluarganya.
“Memang ada hari saya letih dan rasa nak berhenti. Bila semakin besar, baru saya sedar setiap perjalanan itu datang bersama pengorbanan masa, tenaga dan perbelanjaan keluarga,” katanya.
Bagi Danisha, sokongan keluarga bukan sahaja membolehkannya meneruskan minat dalam sukan, malah menjadi sumber kekuatan untuk mengharungi pelbagai cabaran.
“Saya tak rasa semua remaja perlu melalui kehidupan seperti diri saya.
“Setiap orang ada jalan sendiri. Yang penting, jangan berhenti belajar dan jangan hilang diri sendiri ketika mengejar impian,” jelasnya.
Sepanjang penglibatannya dalam arena sukan, Danisha telah melalui pelbagai pengalaman yang membentuk keperibadian dan kematangannya sebagai seorang atlet.
Daripada latihan yang menuntut komitmen tinggi sehinggalah penyertaan dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa, setiap pengalaman mengajarnya erti disiplin, ketekunan, keyakinan diri dan semangat kerjasama.
Menurut Danisha, perjalanan seorang atlet bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya turut melibatkan proses pembelajaran, keberanian menghadapi cabaran dan kesediaan memperbaiki kelemahan diri.
Setiap pertandingan menuntut persediaan fizikal dan mental yang rapi, selain mengajarnya menghargai peranan jurulatih, rakan sepasukan serta individu yang sentiasa memberikan sokongan.
“Setiap pertandingan memberikan pengalaman yang berbeza. Saya belajar untuk lebih berdisiplin, mengawal tekanan dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan,” katanya.
Baginya, pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan dalam sukan telah membentuk ketahanan mental serta keyakinan untuk terus mencabar kemampuan diri.
Penglibatan dalam pelbagai kejohanan di lebih 12 negara telah memberikan Danisha pengalaman berharga sepanjang perjalanan karier sukannya.
Antara kejohanan berprestij yang pernah disertainya termasuk Kejohanan Dunia AGG di Bulgaria pada 2025, Piala Dunia AGG di Malaysia pada tahun yang sama serta Kejohanan Asia AGG di Kazakhstan pada 2026.
Penyertaannya dalam Kejohanan Asia AGG di Kazakhstan turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila Danisha bersama pasukannya berjaya menduduki tempat keempat dalam pertandingan tersebut.
Pencapaian itu bukan sahaja menjadi antara detik bermakna dalam perjalanan sukannya, malah menyuntik semangat untuk terus meningkatkan prestasi dan mengharungi cabaran persaingan di pentas antarabangsa.
Berhadapan dengan atlet daripada pelbagai negara turut membuka matanya terhadap tahap persaingan yang semakin mencabar, sekali gus menyedarkan dirinya bahawa masih banyak ruang untuk terus belajar dan memperbaiki kemampuan.
Antara kenangan manis lain yang sukar dilupakan ialah kejayaannya meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak dalam satu pertandingan di Singapura.
Bagi Danisha, setiap kejayaan mempunyai cerita tersendiri yang tidak semestinya dapat dilihat oleh orang ramai.
“Orang nampak beberapa minit di podium, tetapi di sebaliknya ada latihan bertahun-tahun dan hari-hari yang bukan mudah,” katanya.
Di sebalik pencapaian yang diraih, Danisha mengakui bahawa perjalanan sebagai seorang atlet tidak pernah terlepas daripada cabaran dan kekecewaan.
Ada ketikanya dia berdepan kemerosotan prestasi, kehilangan keyakinan serta tekanan menjelang pertandingan penting.
Menurutnya, tekanan bukan sahaja berpunca daripada harapan orang sekeliling, malah turut hadir daripada sasaran tinggi yang diletakkan terhadap diri sendiri.
Seiring pertambahan usia dan pengalaman, Danisha belajar mengurus emosi dengan lebih baik, mengawal pernafasan serta memberikan tumpuan kepada setiap pergerakan ketika bertanding.
Kesilapan yang berlaku pula dijadikan ruang untuk memperbaiki diri dan bukannya alasan untuk terus menyalahkan diri sendiri.
“Saya nak remaja tahu bahawa satu kegagalan tidak menentukan masa depan kita. Kita masih boleh belajar, membaiki diri dan mencuba lagi,” katanya.
Danisha percaya bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui jumlah pingat yang dimenangi, tetapi juga keberanian untuk bangkit dan meneruskan perjuangan selepas berdepan kegagalan.

Di sebalik komitmen sebagai atlet, Danisha kini perlu memberikan tumpuan kepada satu lagi tanggungjawab penting dalam kehidupannya, iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas itu mengambil keputusan untuk mengutamakan persediaan akademiknya, sekali gus melepaskan peluang menyertai Kejohanan Dunia AGG yang dijadualkan berlangsung di Osaka, Jepun, pada November ini.
Walaupun keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, Danisha memahami bahawa pendidikan merupakan aspek penting dalam membina masa depannya.
“Memilih SPM bukan bermaksud saya menyerah pada impian sukan.
“Danisha cuma sedang memberi ruang kepada satu lagi tanggungjawab yang penting,” katanya.
Baginya, mengejar kecemerlangan dalam sukan tidak bermakna tanggungjawab terhadap pelajaran boleh diketepikan.
Sebaliknya, dia percaya kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih seimbang.
Selepas menamatkan SPM, Danisha berhasrat meneruskan penglibatannya dalam sukan serta merebut peluang untuk menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa.
Dia juga menyimpan impian untuk beraksi dalam temasya sukan utama sekiranya terdapat peluang dan acara yang bersesuaian.
Bagi Danisha, pengalaman hampir sedekad dalam arena sukan telah memberikannya sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada sekadar pingat dan trofi.
Selain membuka peluang untuk mengenali rakan baharu dan menjelajah pelbagai negara, sukan turut mengajarnya tentang tanggungjawab, ketabahan dan erti menghargai pengorbanan insan tersayang.
Walaupun pernah berasa tertinggal apabila tidak dapat menyertai aktiviti bersama rakan sebaya kerana komitmen latihan dan pertandingan, dia tidak pernah menyesali perjalanan yang telah dipilih.
Sebaliknya, setiap pengalaman dianggap sebagai sebahagian daripada proses membentuk dirinya menjadi individu yang lebih matang, berdikari dan berdaya tahan.
Danisha berharap kisah perjalanannya mampu menjadi inspirasi kepada kanak-kanak dan remaja lain agar tidak takut untuk memasang impian besar, tanpa mengira usia mahupun latar belakang.
“Asal-usul kita tidak menentukan sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.
Buat remaja yang sedang mengejar cita-cita, Danisha berpesan agar tidak mudah berputus asa meskipun perjalanan yang dilalui terasa perlahan atau dipenuhi cabaran.
“Hargai mereka yang sentiasa menyokong, jangan abaikan pelajaran dan terus berani mencuba kerana kejayaan bukan semata-mata tentang pingat, tetapi juga tentang keberanian untuk bangkit dan meneruskan perjalanan,” ujarnya.
Bagi Danisha, perjalanan sebagai atlet masih panjang. Setiap kejayaan, kegagalan dan pengorbanan menjadi sebahagian daripada kisah yang terus membentuk dirinya, dengan harapan untuk melangkah lebih jauh dan mencipta lebih banyak kenangan bermakna di pentas antarabangsa.
















